Perkongsian rangkaian antara telco selesai isu capaian internet

Fahmi hadir pada Program Kita Madani di Pulau Tuba, Langkawi pada Rabu. - Foto Bernama
Fahmi hadir pada Program Kita Madani di Pulau Tuba, Langkawi pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berharap model perkongsian rangkaian antara syarikat telekomunikasi (telco) dapat dibentuk pada awal bulan depan, bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan capaian internet dan talian telefon di seluruh negara.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, perbincangan pihaknya dengan syarikat telekomunikasi sedang dilakukan, termasuk berkaitan penggunaan menara telekomunikasi antara satu syarikat dengan syarikat yang lain.

"Saya telah maklumkan kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), isu melibatkan perkongsian rangkaian dan kerjasama antara syarikat telekomunikasi untuk menggunakan menara satu sama lain.

"Ini perlu kita rancakkan perbincangannya, supaya menjelang Jun nanti usaha kita untuk mengadakan perkongsian rangkaian dapat berjaya,” katanya ketika ditemui selepas Program Kita Madani di Pulau Tuba dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata, Sarawak dipilih sebagai negeri permulaan untuk model kerjasama tersebut, di mana SKMM bersama syarikat telekomunikasi akan berbincang mengenai perkongsian rangkaian antara syarikat telekomunikasi, selain isu menara telekomunikasi tiada piring satelit di negeri itu.

Katanya, setelah model yang diguna pakai di Sarawak itu berjaya, model sama akan dilaksana di seluruh negara untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan capaian internet dan talian telefon khususnya di kawasan luar bandar.

Fahmi berkata, SKMM juga akan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada di bawah suruhanjaya itu, dalam memastikan perkongsian rangkaian antara syarikat telekomunikasi itu dapat dibentuk.

"Jadi SKMM akan mainkan peranan sebagai perantara dan sekiranya perlu, kita gunakan apa-apa peruntukan undang-undang yang ada. Saya lihat yang positifnya memang syarikat telekomunikasi bersedia untuk bekerjasama. Mungkin sebelum ini mereka memerlukan masa, tapi kini masanya telah tiba,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, sebuah menara telekomunikasi yang baharu dijangka siap dibina menjelang hujung tahun ini di Pulau Tuba, yang sekali gus dapat menyelesaikan masalah capaian internet di sebahagian kawasan pulau tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di seluruh negara akan diselaraskan semula dengan anjakan serta strategi baharu, bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat.

Fahmi berkata, ini termasuk dengan melantik penasihat PEDi baharu yang akan berperanan menyelaras program bersesuaian, bersepadu serta memenuhi cita rasa dan keperluan masyarakat setempat.

"Kita mungkin boleh sediakan perkhidmatan lain di PEDi serta mengadakan program menepati keperluan setempat dan kumpulan tertentu. Sebagai contoh ada kawasan yang ramai warga emas atau golongan belia yang tiada kerja tetap, jadi kita kena lihat program yang sesuai,” katanya.

Terdahulu Fahmi yang disertai Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa turut mengadakan lawatan ke PEDi Pulau Tuba. - Bernama