PKPD: Anak terkilan tak dapat beraya dengan ayah satu taman

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

TAPAH - "Perasaan saya bercampur baur selepas mengetahui kawasan taman ini dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan), tambahan lagi pelaksanaan itu bermula pada Aidiladha esok (Selasa), " luah Mohd Hafiszun Abdullah Sharkhahwi, 36.

Kawasan didiami Mohd Hafiszun antara 13 lokaliti di Mukim Batang Padang dan Bidor yang dilaksanakan PKPD berkuat kuasa selama dua minggu bermula Selasa sehingga 2 Ogos depan.

Mohd Hafiszun dari Taman Sri Bidor dekat sini berhasrat menemani bapanya berusia 72 tahun yang tinggal selang beberapa lorong di taman sama untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Bagaimanapun katanya, hasrat itu terpaksa dilupakan memandangkan prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang melarang sebarang pergerakan keluar rumah.

"Macam-macam perasaan ada, sedih, terkilan, tidak boleh terima malah ada juga rasa tidak reda. Saya ralat apabila tidak dapat beraya bersama ayah walaupun rumah kami berdekatan.

"Apapun saya akur keadaan ini kerana tahu ia dilaksanakan demi keselamatan dan kebaikan semua pihak," katanya yang sempat menyediakan barang keperluan makanan untuk kegunaan ayahnya sepanjang tempoh dua minggu PKPD ini.

Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, Norazwah Abu Bakar, 44, berkata, setakat ini belum lagi ada arahan untuk menutup premis di kawasan yang dikenakan PKPD.

Katanya, sebaik mengetahui adanya PKPD, ramai penduduk keluar membeli barang keperluan untuk tempoh dua minggu sebagai persediaan.

Artikel Berkaitan:

"Jika boleh beroperasi, saya akan buka kembali kedai pada raya kedua nanti bagi memudahkan mereka mendapatkan bekalan. Kita hanya tutup satu hari esok kerana kebetulan hari raya pertama," katanya.

Lokaliti di Mukim Batang Padang yang dikenakan PKPD itu membabitkan Taman Tapah/Taman Bunga Raya dan Kampung Datuk; Taman Sri Damai 1/Taman Sri Damai 2; Taman Sri Tapah; Taman Tapah 2; Taman Sri Asoka; Kampung Baru Kampung Pahang; Batu 5 Tapah Road; Kampung Baru Pekan Getah; Kampung Batu Melintang dan Kampung Tanah Mas.

Turut dikenakan PKPD ialah Taman Awam 3 Bidor/Taman Permata Bidor; Taman Sri Bidor dan Taman Bidor Jaya/Kampung Cegar Tambahan/Kampung Cegar di Mukim Bidor.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, sebanyak 17 pos kawalan didirikan di semua lokaliti PKPD terbabit.

Menurutnya, beberapa jalan dan lorong juga ditutup bagi mengawal pergerakan penduduk bertujuan mengekang penularan wabak Covid-19 di kedua-dua mukim berkenaan.

"Pos kawalan dan penutupan jalan atau lorong itu adalah sebagai langkah untuk mengetatkan kawalan di lokaliti PKPD.

"Justeru orang ramai diminta bersabar dan sama-sama membantu mengekang penularan wabak Covid-19, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan pelanggaran mana-mana pihak ke atas prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan," katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran kawalan sepanjang tempoh PKPD, polis turut mendapatkan bantuan Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) dan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu.

"Bantuan daripada pasukan keselamatan itu adalah bagi penugasan gerak kerja di lapangan dan pos kawalan PKPD lokaliti," katanya.