Maik mendengar rintihan asnaf

No Image Caption
A
A
A

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan rentetan pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai masyarakat hilang punca pendapatan sehingga terputus bekalan makanan.

Kes positif juga mencecah lima angka sehari.

Kegiatan ekonomi tidak akan kembali seperti normal selagi negara kita belum mencapai imuniti kelompok.

Alhamdulillah, ramai juga rakyat Malaysia termasuk NGO mengambil inisiatif membantu mereka yang terkesan tanpa perlu menunggu ketua kampung atau wakil rakyat, apatah lagi dalam keadaan sekarang ramai yang terkesan tidak berada dalam rekod pihak terbabit.

Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab sama terhadap tetangga kita. Jika ternampak jiran, tegur dan tanyalah khabar. Cukupkah makanan di rumah mereka?

Mungkin mereka segan untuk meminta. Jangan tunggu mereka kibar bendera putih.

Cepat-cepatlah hulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing sambil tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Jika kita tidak mampu, kita masih boleh bantu dengan memberi maklumat kepada pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

Memang benar ramai yang hilang pendapatan akibat PKP.

Walaupun Kelantan sudah memasuki fasa dua Pelan Pemulihan Negara, masih banyak kedai atau syarikat yang belum boleh dibuka.

Mereka pula mempunyai simpanan yang sedikit dan ada yang tiada simpanan langsung.

Rata-rata mereka yang sudah sememangnya susah, yang tergolong dalam kategori asnaf fakir atau miskin sudah mendapat bantuan bulanan daripada sama ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Selain itu, pihak masjid dan penghulu juga sentiasa mengambil berat serta menyampaikan sumbangan dari masa ke masa.

Namun, tetap ada segelintir yang tidak susah tetapi mengambil kesempatan terhadap agihan bahan makanan daripada pihak NGO.

Tindakan itu menafikan hak mereka yang benar-benar susah.

Lebih menyedihkan, usaha pihak NGO menimbulkan banyak kecaman dan tohmahan terhadap pihak berwajib.

Terdapat golongan yang mempersoalkan mana wakil rakyat? Mana JKM? Mana Maik? Seolah-olah mereka semua tidak berbuat apa-apa.

Mereka yang sentiasa turun ke lapangan dan cakna terhadap isu kebajikan akan tahu dan faham.

Sebagai contoh, Maik telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM40 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Sumbangan menerusi Program Bantuan Prihatin Maik melibatkan lima fasa telah memanfaatkan hampir 50,000 penerima daripada pelbagai bangsa dan agama di seluruh Kelantan.

Tambahan sumbangan RM16 juta juga telah diluluskan.

Maik turut membantu mereka yang bukan Islam dengan menggunakan dana Baitumal yang diperoleh daripada aktiviti pelaburan Maik, sumbangan kerajaan pusat dan sumbangan individu perseorangan.

Bantuan daripada tabung Baitumal Maik bukan menggunakan duit zakat yang diterima, sebaliknya daripada sumber lain termasuk potongan gaji kakitangan Maik.

Sebelum ini, bantuan Maik diberikan secara langsung dan melalui pejabat-pejabat tanah, masjid-masjid mukim dan bandar.

Kini, demi meluaskan sasaran penerima bantuan agar tiada yang tercicir, Maik turut mengambil inisiatif dengan menjalinkan kerjasama dengan lima NGO, antaranya Macma Kelantan.

Sehingga kini, sebanyak 150 daripada 604 buah masjid di bawah Maik telah menyediakan bank makanan.

Syabas kepada Maik kerana sentiasa mendengar rintihan asnaf dan mengambil inisiatif menambah baik perkhidmatan dalam keadaan mencabar kini dengan membuat jaringan bersama NGO.

Ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan dan meminimumkan keciciran.

Terima kasih Maik.

* Dr. Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia