RM300,000 bantu sektor perikanan Kelantan tingkat bekalan makanan

Para penternak dan nelayan bergambar bersama Ahmad (tiga dari kanan) selepas majlis penyerahan bantuan kepada penerima
Para penternak dan nelayan bergambar bersama Ahmad (tiga dari kanan) selepas majlis penyerahan bantuan kepada penerima
A
A
A
PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan mengambil inisiatif menyalurkan bantuan hampir RM300,000 kepada nelayan dan penternak ikan sangkar bagi meningkat sektor perikanan di negeri ini sekali gus menyumbang kepada bekalan makanan negara.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bantuan itu melibatkan RM51,617 bagi sumbangan pukat kepada 247 nelayan darat di bawah Program Perkhidmatan dan Galakan Teknologi Pengendalian Ikan.

“RM170,695 bantuan Input Ternakan Akuakultur untuk Peningkatan Aktiviti Ternakan Akuakultur dan Sokongan kepada 35 penternak ikan.

“RM52,950 lagi ialah bantuan yang merangkumi peralatan menangkap ikan seperti pukat udang tiga lapis, pukat kaya dan pukat ketam di bawah Program Peningkatan Pendaratan Ikan dan Kesejahteraan Nelayan,” kata Ahmad semasa ucapan perasmian Karnival Usahawan My Agropreneur Perikanan (myAP) dan My Komuniti Perikanan (myKP) Zon Timur 2023 di Tok Bali di sini pada Selasa.

Menurut beliau, penekanan program pembangunan perikanan amat penting agar dapat meningkatkan pengeluaran ikan dan kualiti penternakan akuakultur.

Ahmad (dua dari kanan) melawat ke gerai usahawan sate ikan di Tok Bali, Pasir Puteh.
Ahmad (dua dari kanan) melawat ke gerai usahawan sate ikan di Tok Bali, Pasir Puteh.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, usahawan sektor perikanan di Kelantan berjaya meningkatkan ekonomi negeri dan program yang diadakan selaras dengan Dasar Pertanian dan Pelan Tindakan Strategik Pertanian Negeri Kelantan 2021-2025.

“Program myAP memberi tumpuan kepada pelaksanaan program keusahawanan merangkumi pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan industri sokongan perikanan termasuk agropelancongan serta perikanan rekreasi.

“MyKP pula akan mengembangkan konsep pengurusan sumber perikanan dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi komuniti perikanan melalui pendekatan potensi sumber kekayaan baharu,” katanya.

Ujar beliau, terdapat 16 usahawan myAP dan 16 kumpulan myKP dengan jumlah keahlian seramai 700 individu terlibat dalam pelbagai aktiviti keusahawanan di negeri ini.

Ahmad (kanan) menyampaikan bantuan Input kepada usahawan myAP dan myKP di Pasir Puteh.
Ahmad (kanan) menyampaikan bantuan Input kepada usahawan myAP dan myKP di Pasir Puteh.

“Program dapat membantu mempromosikan produk-produk yang berasaskan ikan, meningkatkan hasil jualan penternak dan pengusaha produk Industri Asas Tani yang menjadi keperluan asas seterusnya menjamin bekalan makanan negara.

“Pendedahan ilmu pemasaran produk kepada kumpulan sasar akan meningkatkan pengetahuan berkaitan sijil dan mempraktikkan Amalan Perkilangan Baik,” katanya.