Kerajaan tambah pembelian tiga juta dos vaksin Sinovac

Kerajaan tambah pembelian tiga juta dos vaksin Covid-19 keluaran Sinovac.
Kerajaan tambah pembelian tiga juta dos vaksin Covid-19 keluaran Sinovac.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan menambah pembelian tiga juta dos vaksin Covid-19 keluaran Sinovac untuk dijadikan stok simpanan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, vaksin tersebut akan digunakan kepada mereka yang mengalami alahan terhadap vaksin lain.

"Tempahan ini akan selesai dihantar Pharmaniaga akhir bulan ini atau awal Ogos," katanya dalam sidang akhbar PICK pada Jumaat.

Pada perkembangan sama, beliau menjelaskan tiada isu berbangkit berhubung bekalan Sinovac digantikan dengan vaksin keluaran Pfizer.

"Bekalan Sinovac yang dikatakan digantikan tersebut adalah disebabkan kita sudah habis bekalan bagi vaksin berkenaan," katanya.

Menurutnya, kesemua tempahan iaitu 12 juta dos yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan kepada Pharmaniaga Berhad untuk Sinovac akan selesai dibekalkan pada hujung bulan ini.

Katanya, kelompok dos terakhir akan dibekalkan Pharmaniaga pada 21 Julai.

"Ini sebenarnya adalah lebih awal daripada rancangan bekalan yang dipersetujui sebelum ini iaitu untuk pembekalan dibuat dalam tempoh tujuh bulan antara Mei sehingga November.

Artikel Berkaitan:

"Ia dipercepatkan bagi memenuhi keperluan untuk menyegerakan vaksinasi susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 harian di mana Pharmaniaga telah membuat pemesanan vaksin import siap untuk diagihkan seiringan dengan agihan vaksin jenis 'fill and finish'," katanya.

Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi selepas Kelantan menghentikan pengagihan bekalan Sinovac ke seluruh PPV negeri itu mulai akhir bulan ini.