740 premis perniagaan diperiksa, lapan diarahkan tutup

Lapan premis disita termasuk tiga buah hotel yang menjalankan aktiviti tidak bermoral.
Lapan premis disita termasuk tiga buah hotel yang menjalankan aktiviti tidak bermoral.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup lapan premis perniagaan termasuk tiga buah hotel kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Unit Media DBKL menerusi satu kenyataan berkata, tindakan tersebut diambil susulan 740 buah premis yang diperiksa pihaknya menerusi Ops Patuh bermula 9 Julai hingga Khamis di 11 kawasan Parlimen di sini.

Menurutnya, 740 premis tersebut melibatkan sektor perhotelan, pusat urut, perniagaan restoran, kedai runcit, pasar raya, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, sebanyak sembilan notis kompaun dikeluarkan menerusi Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atas pelbagai kesalahan terhadap pemilik premis atau syarikat yang ingkar SOP PPN.

"Sebanyak lapan tindakan penutupan premis (sita) melalui Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 termasuk tiga buah hotel yang menjalankan aktiviti tidak bermoral serta tindakan sita pelbagai barangan seperti kondom, minyak pelincir, video perakam dan lain-lain.

"Selain itu, sejumlah 40 notis kompaun atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan ke atas premis-premis yang melanggar SOP semasa pemeriksaan dilakukan," kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Unit Media DBKL berkata, pemeriksaan Ops Patuh DBKL akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh PPN berkuatkuasa.

"Tindakan khas tersebut dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta SOP DBKL dan KKM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, warga kota boleh memberikan kerjasama dengan menyalurkan aduan kepada pihak DBKL secara dalam talian seperti pautan di http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do.