Polis cari pemilik akaun Twitter dakwa anggota minta suapan

Ciapan berkenaan dimuat naik pada 9.24 malam, 15 Julai lalu di Twitter namun kemudian dipadam dipercayai oleh pemilik akaun Twitter tersebut. - Foto 123RF
Ciapan berkenaan dimuat naik pada 9.24 malam, 15 Julai lalu di Twitter namun kemudian dipadam dipercayai oleh pemilik akaun Twitter tersebut. - Foto 123RF
A
A
A

KAJANG - Polis sedang mengesan satu akaun Twitter untuk membantu siasatan berkaitan kes anggota polis didakwa meminta suapan ketika sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR).

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung satu ciapan Twitter yang tular berhubung isu tersebut pada jam 4.50 pagi, Jumaat.

"Laporan tersebut dibuat setelah sekeping gambar anggota lengkap berpakaian uniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimuat naik dan dituduh meminta suapan berupa wang tunai. Ia mencemarkan imej PDRM," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaid berkata, ciapan berkenaan dimuat naik pada 9.24 malam, 15 Julai lalu di Twitter namun kemudian dipadam dipercayai oleh pemilik akaun Twitter tersebut.

"Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang juga menjalankan siasatan sekiranya wujud salah laku oleh petugas SJR," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Mu'az Mazlan di talian 017-9788804 / 03-8911 4222.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak mengaibkan kehormatan seseorang serta memuat naik perkongsian palsu dan jelik di laman sosial," katanya.

Artikel Berkaitan: