X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Covid-19: 13,215 kes positif hari ini

Wabak Covid-19 di negara ini semakin meruncing apabila 13,215 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan pada Khamis.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes positif Covid-19 merekodkan peningkatan tertinggi selama tiga hari berturut-turut dengan 13,215 jangkitan baharu dilaporkan pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 12,684 kes yang dikesan adalah pesakit Covid-19 kategori satu dan dua.

Menurut beliau, ia terdiri daripada 8,047 kes adalah kategori satu iaitu tidak mempunyai gejala, manakala 4,637 kes pula di peringkat kategori dua atau bergejala ringan.

"Sebanyak 531 kes yang dikesan positif adalah kategori tiga hingga lima.

"Ini menunjukkan sebahagian besar daripada kes positif Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini (Khamis) adalah daripada kumpulan tidak bergejala dan bergejala ringan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor adalah negeri tertinggi melaporkan kes iaitu 6,120 diikuti Negeri Sembilan (1,603) dan Kuala Lumpur (1,499).

"Negeri yang turut merekodkan peningkatan kes ketara adalah Kedah (695), Johor (599), Pulau Pinang (509) dan Melaka (484).

"Sementara itu, di Sabah pula adalah 370 kes, Sarawak (363), Perak (344), Kelantan (255) dan Pahang (222). Negeri dan wilayah yang melaporkan kes positif dua digit adalah Terengganu (70), Putrajaya (53), Labuan (26) dan Perlis (tiga).

"Pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatifnya adalah 880,782 kes," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, varian Delta boleh tersebar kepada individu lain yang terdedah hanya dalam tempoh 15 saat.

"Jangkitan boleh berlaku dengan cepat di tempat yang sempit dan tidak mempunyai ruang udara yang baik.

"Varian baharu ini boleh berlaku dalam 15 saat sahaja dan berjangkit melalui udara," katanya.

Menurutnya, penilaian yang dilakukan terhadap kontak rapat kes positif mendapati mereka terdedah dalam tempoh 15 minit atau pada jarak kurang satu meter.

"Tempoh masa jangkitan yang singkat itu telah menyebabkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti turut meningkat," katanya.

"Varian Delta merebak dengan cepat dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) antara lima hingga lapan berbanding varian lain iaitu nilai Rt sekitar 2.5 hingga tiga," katanya.

Mengambil contoh penularan di Labuan, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan peningkatan kes sehingga 1,340 kes dalam masa seminggu berpunca daripada varian Delta.

"Ia telah menular dalam kalangan pekerja industri perkapalan," katanya.

Menurutnya, kaedah kesihatan awam perlu diteruskan bagi membendung penularan jangkitan itu disamping melengkapkan imunisasi Covid-19.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!