Program Talian Jiwa bantu golongan terkesan akibat Covid-19

 Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff
A
A
A

SHAH ALAM - Menyedari ramai rakyat ketika ini mengalami tekanan akibat krisis Covid-19, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) tampil memperkenalkan program televisyen Talian Jiwa yang akan bersiaran secara langsung setiap Khamis di Astro Oasis.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, episod pertama program hasil kerjasama pihaknya bersama Astro Oasis dan Sinar Harian itu akan bersiaran bermula hari ini (Khamis) selama sejam dari jam 6 hingga 7 petang.

Menurutnya, program Talian Jiwa yang berslogan 'Kami Dengar, Kami Bantu' itu mengetengahkan solusi kepada masalah sebenar yang dihadapi rakyat menerusi slot Pesan Pakar, Pesan Al-Quran dan Pesan Tokoh.

Katanya, menerusi setiap episod, dua pemanggil terpilih akan diberikan peluang untuk berkongsi masalah yang dihadapi sebelum mereka akan dibantu.

"Kita terpanggil untuk wujudkan rancangan televisyen ini kerana melihat ramai dalam kalangan ahli masyarakat stres dengan keadaan pandemik Covid-19 ketika ini sehingga berlakunya kes bunuh diri.

"Kalau kita perhatikan juga, banyak bantuan diberikan kepada golongan B40, jadi fokus kita menerusi program ini adalah kepada golongan miskin baharu iaitu mereka yang dahulunya T20 atau M40 tetapi jatuh miskin akibat krisis ini," katanya.

Marhaini memberitahu, pendekatan itu diambil kerana golongan berkenaan lazimnya tidak suka meminta dan tidak menunjukkan kesusahan hidup yang dialami mereka.

Artikel Berkaitan:

Program Talian Jiwa akan mula bersiaran pada Khamis.
Program Talian Jiwa akan mula bersiaran pada Khamis.

Katanya, pemanggil terpilih itu akan diberikan bantuan tunai, bekalan makanan, sokongan emosi dan bantuan lain yang diperlukan.

"Jadi menerusi program Talian Jiwa, mereka yang terjejas boleh menghubungi kami ketika siaran langsung dan mereka berpeluang mendengar terus nasihat dan panduan yang diberikan pakar serta tokoh jemputan," katanya.

Ujarnya, sokongan untuk Talian Jiwa ini disalurkan terus ke platform rasmi di Soul Fitness yang menjadi tempat perkongsian cabaran serta panduan dari al-Quran dan hadis untuk terapi jiwa.

Katanya, progran itu mengetengahkan tiga formula menangani tekanan emosi dan jiwa dari surah al-Dhuha iaitu pertama bertenang, kawal emosi dan bersikap positif, kedua cari dan mohon bantuan serta ketiga, bersyukur dan proaktif.

Marhaini memberitahu, episod pertama akan menjawab tentang satu masalah perniagaan yang terjejas dan kes isteri yang berdepan dengan masalah suami yang sakit.

"Buat permulaan, program ini akan bersiaran selama tujuh episod dahulu," katanya.