3,000 peniaga kecil terima bantuan RM1.2 juta daripada MAIPk

Pada 10 Jun lalu, Sultan Nazrin memperkenan dana khas bantuan semasa PKP 3.0 berjumlah RM14.6 juta bagi meringankan beban yang dihadapi rakyat jelata di negeri ini. Gambar kecil: Asmadi
Pada 10 Jun lalu, Sultan Nazrin memperkenan dana khas bantuan semasa PKP 3.0 berjumlah RM14.6 juta bagi meringankan beban yang dihadapi rakyat jelata di negeri ini. Gambar kecil: Asmadi
A
A
A

IPOH - Lebih 3,000 penjaja dan peniaga kecil yang terjejas ketika tempoh pandemik Covid-19 di Perak menerima bantuan kewangan berjumlah RM1.2 juta daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak, Asmadi Teh berkata, bantuan tersebut merupakan peruntukan dana khas bantuan kecemasan kelangsungan hidup yang diperkenankan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 10 Jun lalu.

Menurutnya, sebanyak 3,068 permohonan yang dikemukakan pihak persatuan diluluskan dengan setiap ahli menerima RM400 untuk meringankan beban ditanggung ketika pandemik Covid-19 ketika ini.

"Saya mewaikili ahli persatuan menjunjung kasih di atas keprihatinan baginda terhadap golongan penjaja dan peniaga kecil yang terkesan ketika ini.

"Peruntukan yang diberikan sedikit sebanyak membantu meringankan beban untuk meneruskan hidup dalam keadaan yang serba mencabar," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, Zon B melibatkan daerah Kinta, Sungai Siput dan Kuala Kangsar paling ramai menerima bantuan tersebut iaitu seramai 767 peniaga diikuti Zon A (daerah Manjung, Pangkor dan Perak Tengah) seramai 721 orang.

Pada 10 Jun lalu, Sultan Nazrin memperkenan dana khas bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berjumlah RM14.6 juta bagi meringankan beban yang dihadapi rakyat jelata di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, baginda menitahkan bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta disediakan untuk rakyat yang kehilangan sumber pendapatan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Perak perkenan dana khas bantuan PKP RM14.6 juta