Aidiladha bukan signal kita sudah menang

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

SEBELUM ini, penularan Covid-19 di Malaysia sudah mampu dikawal dan unjuran kes semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sejak Jun lalu juga mampu diratakan.

Sebelum pelaksanaan PKPD pada Jun, dalam tempoh 10 hari kes dapat diratakan daripada 9,000 kes sehari kepada 5,000 kes hingga 6,000 kes sehari.

Namun, penularan varian Delta dan kemunculan beberapa kluster baharu di setiap negeri kembali menjadi igauan ngeri.

Apabila varian Delta mula mendominasi kehidupan, semua pergerakan kita semakin terhad. Malah, ia turun menyebabkan ramai dalam komuniti kita terpaksa mengibarkan bendera putih apabila jalan mencari rezeki kini terhalang.

Apa yang rakyat mahukan ketika ini bukan lagi sajian laporan berita mengenai kerakusan ahli politik merebut jawatan atau tampuk kepimpinan negara mahupun aktiviti percutian menteri dan ahli keluarganya di luar negara.

Rakyat mahukan suntikan vaksin dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) agar tidak mudah dijangkiti.

Kesilapan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu diharap tidak diulangi, Maklumlah, kurang seminggu sahaja lagi umat Islam bakal menyambut Aidiladha. Mana tidaknya, rentas negeri, daerah dan ziarah raya menjadi punca wujudnya kluster baharu. Bukan sahaja di satu negeri, malah membabitkan semua negeri di Malaysia!

Apabila arahan kerajaan untuk duduk kekal di rumah, patuh sahajalah. Kita masih belum menang. Sambutan Aidiladha kali ini mungkin akan lebih hambar kerana ada dalam kalangan kita telah kehilangan ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, jumlah individu yang menyerbu Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam saban hari kekal luar biasa apabila lebih kurang 2,000 beratur panjang di luar CAC berkenaan sejak awal pagi. Adakah ini pilihan kehidupan yang kita mahukan?

Krisis yang dicetuskan Covid-19 bukan sahaja menjejaskan perkembangan ekonomi dan sosial negara, malah turut menjejaskan kesihatan manusia sehingga menyebabkan kematian.

Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku dalam tempoh dua tahun ini.