'Kita sudah on track' - COO LTdL 2023

Emir bercakap dalam sidang akhbar mengenai status terkini penganjuran LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil pada Khamis. - Foto Bernama
Emir bercakap dalam sidang akhbar mengenai status terkini penganjuran LTdL 2023 di MSN, Bukit Jalil pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PERLUMBAAN jelajah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 masih menetapi status ProSeries di sebalik khabar kurang mendapat sambutan memberangsangkan daripada penaja.

Malah, Majlis Sukan Negara (MSN) yang diberikan kepercayaan selaku penganjur memberi jaminan edisi ke-27 itu tetap akan berlangsung penuh berprestij seperti penganjuran sebelum ini.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan prestij LTdL akan terus terjamin bagi menarik minat pihak penaja.

“Memang itulah komitmen MSN iaitu untuk memastikan survival perlumbaan (LTdL). Maksudnya kalau kita tidak tingkatkan prestij, memang susahlah (mendapatkan penajaan).

“Sebab kita ada buat perjanjian dengan penaja. Jadi, kita mahu memastikan mereka (penaja) terus bersama dalam tempoh tiga tahun ini (2023 hingga 2025).

“Setiap tahun kita ada sasaran untuk tahun ini dan tahun-tahun akan datang bagi memastikan prestij LTdL itu kekal terjaga (terjamin),” katanya semasa sidang akhbar di MSN, Bukit Jalil pada Khamis.

Sebelum itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan pihaknya mendapat jaminan penajaan bagi memastikan penganjuran LTdL 2023 dari 23 hingga 30 September ini berjalan lancar.

Difahamkan, syarikat konglomerat dan beberapa kerajaan negeri antara yang bakal diumumkan sebagai penaja LTdL 2023 selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memberikan pe-runtukan sebanyak RM8 juta.

Artikel Berkaitan:

“Sebahagian daripada kontrak (penajaan) kita tak boleh umumkan tetapi apa yang nak saya katakan, kita telah secure dan bajet yang diperlukan agak selesa.

“Saya boleh katakan angka mengenai bajet mencukupi dan untuk menganjurkan perlumbaan yang baik, kita sudah on track. Pengumuman akan dibuat penaja nanti,” jelas Emir.

Pada LTdL kali ini, sebanyak 22 pasukan sah bakal mengambil bahagian dengan diketuai dua pasukan bertaraf World Team iaitu Astana Qazaqatan dari Kazakhstan dan EF Education Easypost (Amerika Syarikat).

Turut bakal bersaing ialah lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan benua termasuk Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan skuad kebangsaan Malaysia.

LTdL 2023 yang melibatkan jarak keseluruhan sejauh 1,280 kilometer (km) akan bermula peringkat pertama di Kerteh, Terengganu dan berakhir peringkat kelapan di Kuala Lumpur.