'Seminggu kehabisan susu bayi, air sirap sebagai pengganti'

Wakil Pertubuhan Kebajikan Teguh Kita Menang Bersama menyalurkan sumbangan barangan makanan asas bernilai RM100 terhadap 100 keluarga terjejas akibat PKPD di Selangor sejak seminggu lalu.
Wakil Pertubuhan Kebajikan Teguh Kita Menang Bersama menyalurkan sumbangan barangan makanan asas bernilai RM100 terhadap 100 keluarga terjejas akibat PKPD di Selangor sejak seminggu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - "Hancur luluh hati saya bila dapat tahu ada keluarga yang terpaksa memberi bayi mereka minum air sirap selama seminggu kerana kehabisan bekalan susu."

Demikian luahan pilu Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Teguh Kita Menang Bersama, Shahrul Anuar Zambri, 36, sewaktu menceritakan kembali pengalaman pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyalurkan bantuan makanan kepada 100 keluarga terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, sejak seminggu lalu.

Tambah Shahrul Anuar, keluarga berkenaan yang tinggal di Kayu Ara, Damansara itu sememangnya bergelut untuk meneruskan kehidupan berikutan si suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, hanya dibayar separuh gaji.

Hal ini disebabkan semua syarikat yang menggunakan khidmat pengawal keselamatan, terpaksa mengurangkan kapasiti perkhidmatan sehingga 60 peratus sepanjang PKP 3.0 dan situasi itu memberi kesan besar terhadap ekonomi si suami.

"Isteri keluarga berkenaan pula bekerja sebagai pencuci bangunan dan tidak mendapat gaji sepanjang PKP kerana tidak dapat bekerja.

"Setibanya kami di rumah mereka, didapati barang makanan yang tinggal di dapur mereka hanyalah beras...Lebih menyedihkan, bekalan beras itu hanya mampu bertahan selama tiga hari untuk membolehkan pasangan suami isteri berusia 30-an berkenaan bersama empat anak mereka terus hidup.

"Tanpa membuang masa, kami segera menyalurkan bantuan barangan keperluan dan makanan asas seperti beras, ayam, telur, sayur dan paling penting susu bayi bagi mengelakkan anak mereka terus diberi minum air sirap," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Shahrul Anuar Zambri
Shahrul Anuar Zambri

Beliau berkata demikian sewaktu mengetuai jawatankuasa pertubuhan yang dilantik bagi menyalurkan sumbangan barangan keperluan kepada sejumlah keluarga susah yang dikenal pasti di sekitar Klang.

Jelas Shahrul Anuar, selain kes keluarga susah di Damansara itu, pihaknya turut mengenal pasti satu keluarga yang terjejas teruk, yang ketika ditemui hanya tinggal bekalan tepung gandum untuk terus hidup.

"Keluarga ini pula kita kenal pasti di Taman Kinrara, Puchong apabila mereka langsung tiada simpanan bekalan makanan termasuk beras dan terpaksa bergantung kepada tepung gandum untuk mengisi perut yang lapar.

"Tindakan pantas juga diambil setelah Biro Risikan, Kajian dan Sukarelawan pertubuhan kami melakukan risikan dan keluarga berkenaan juga diberikan bantuan sewajarnya untuk mereka mampu bernafas bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi," katanya.

Shahrul Anuar berkata, pertubuhannya menyasarkan sejumlah 100 keluarga terjejas akibat PKPD di Selangor yang telah dibantu sebelum ini, akan diteruskan bantuan bagi tempoh dua minggu akan datang sekiranya peruntukan mencukupi.

Jelas beliau, pertubuhan itu memperuntukkan sejumlah RM6,000 bagi tujuan berkenaan dengan setiap keluarga menerima sumbangan makanan asas bernilai RM100.

"Penerima sumbangan terlibat adalah terdiri mereka yang tinggal daerah Kapar, Klang, Shah Alam, Damansara dan Puchong.

"Kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggembleng wang ringgit dan tenaga bagi menjayakan niat murni Pertubuhan Kebajikan Teguh Kita Menang Bersama agar tiada rakyat Malaysia yang tercicir dan terpinggir pada saat krisis Covid-19 mencengkam negara," katanya.

Kepada mana-mana pihak prihatin dan ingin menyumbang dalam misi kebajikan dan kemanusiaan seperti yang dilakukan oleh Pertubuhan Kebajikan Teguh Kita Menang Bersama, bolehlah menyalurkan sumbangan anda ke akaun Bank Rakyat 1101622186 di bawah nama Pertubuhan Kebajikan Teguh Kita Menang Bersama.