Taman Zety Roses lakukan R&D lebih 500 spesies keladi hias

Sharifah Marzety bersama keladi spesies pharaoh mask (topeng firaun) di Taman Zety Roses di Kampung Tanjung Aur, Kuala Terengganu.
Sharifah Marzety bersama keladi spesies pharaoh mask (topeng firaun) di Taman Zety Roses di Kampung Tanjung Aur, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Taman Zety Roses kini melebarkan sayap dengan memberi fokus terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pelbagai spesies keladi hias secara berskala besar sekaligus menjadi nurseri borong dan runcit pertama di Pantai Timur yang melakukan proses itu.

Pemiliknya, Sharifah Marzety Adibah Al Sayed Mohamad atau juga dikenali dengan panggilan Dr Zety berkata, nurseri itu mula memberi fokus terhadap penghasilan benih keladi bermutu tinggi sejak tahun lalu melibatkan lebih 500 spesies keladi hias.

"Minat terhadap keladi mula bercambah selepas saya cuba menanam sendiri tanaman itu. Memandangkan saya adalah seorang pencinta flora, saya mahu semua jenis keladi ada di nurseri ini termasuk untuk tujuan penyelidikan.

"Fokus nurseri ini masih kepada penghasilan pokok ros cuma saya lakukan tambahan pokok keladi kerana ia mempunyai ramai peminat dan pokok-pokok keladi ini pula mempunyai banyak spesies dan grade," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, 10 spesies baharu hasil kacukan daripada keladi hibrid Thailand berjaya dihasilkan.

Antara anak pokok keladi yang terdapat di Taman Zety Roses.
Antara anak pokok keladi yang terdapat di Taman Zety Roses.

Katanya, produk penjagaan khas berasaskan bahan organik yang digunakan terhadap keladi hias mampu merangsang pembesaran pokok sehingga mencecah 2 meter dalam tempoh hanya dua bulan dan merupakan perkembangan baharu dalam perusahaan tanaman keladi yang dijalankan sejak tahun lalu.

"Biasanya, ada keladi memakan masa sehingga bertahun-tahun untuk membesar. Di Taman Zety Roses pokok keladi hidup subur dan membesar dalam tempoh yang singkat.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati keladi ini mampu membesar sehingga mencecah 2 meter dalam tempoh dua bulan kerana ia serasi dengan baja yang digunakan untuk tanaman pokok ros di sini, " katanya.

Dalam pada itu, katanya, spesies collocasia merupakan antara keladi paling laris yang sentiasa diburu pelanggan.

"Collocasia black diamond dan black pearl yang kini dalam proses R&D merupakan spesies jarang jumpa dan yang paling mahal terdapat di nurseri tersebut dengan nilai melebihi RM50,000 sepokok.

Keladi di Taman Zety Roses membesar dengan cepat sehingga mencecah 2 meter dalam tempoh hanya dua bulan.
Keladi di Taman Zety Roses membesar dengan cepat sehingga mencecah 2 meter dalam tempoh hanya dua bulan.

"Spesies collocasia black diamond dan black pearl antara keladi harga 'kayangan' kerana harga bagi anak pokok yang dibeli dengan ketinggian 0.3 meter sahaja sudah mencecah RM20,000. Selain itu, keladi marble taro juga antara spesies keladi 'rare' dan mahal dimana harga bagi anak pokoknya sahaja mencecah RM6,800.

"Keladi jenis pharaoh mask (topeng firaun) pula merupakan antara keladi yang popular kerana mempunyai ramai peminat. Harga bagi anak pokoknya RM1,000 manakala bagi pokok yang berukuran saiz sederhana RM5,000 dan saiz besar mencecah RM10,000,"katanya yang dibantu seramai 30 pekerja.

Bercerita mengenai potensi tanaman keladi yang diusahakan, Sharifah Marzety berkata, ia menunjukkan perkembangan positif dan memberangsangkan walaupun baharu setahun berkecimpung dalam tanaman itu.

"Jualan keladi pada tahun lepas begitu memberangsangkan. Walaupun baru setahun saya buat jualan keladi secara runcit dan borong, ia setanding dengan pokok ros yang telah berada di di pasaran selama lapan tahun.

"Nilai jualan bagi keladi sahaja nencecah ratusan ribu sehingga Disember tahun lalu," katanya yang menyasarkan jualan keladi diperoleh sekitar RM200,000 pada tahun ini.

Sebahagian keladi yang terdapat di Taman Zety Roses.
Sebahagian keladi yang terdapat di Taman Zety Roses.

Taman Zety Roses berkeluasan 1.62 hektar di Kampung Tanjung Aur, di sini mempunyai 13 ejen di seluruh negara serta 50 pemborong dalam terdiri dalam kalangan pemilik nurseri.

Pusat penghasilan pokok hiasan terbesar di kawasan tanah rendah itu kini mempunyai lebih 3,000 pokok bunga ros daripada 700 spesies serta lebih 1,000 pokok keladi.