Abang PMX meninggal dunia

Anwar berkongsi gambar kenangan bersama abangnya. Facebook Anwar Ibrahim
Anwar berkongsi gambar kenangan bersama abangnya. Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Abang sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Idrus Ibrahim meninggal dunia pada Khamis.

Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh Anwar menerusi satu hantaran di Facebook yang memaklumkan beliau menerima berita pemergian abangnya ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

“Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya menerima khabar yang meruntun jiwa bahawa abang saya, Idrus Ibrahim, telah pergi buat selama-lamanya.

“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada, dan hanya ALLAH SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini,” katanya.

Anwar turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Allahyarham pada saat-saat akhirnya, bagaimanapun reda dengan pemergian abangnya.

“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham yang akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati keluarga.

“Mohon teman-teman titipkan doa buat Allahyarham Idrus Ibrahim, semoga ALLAH SWT mengampuni segala khilafnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," kongsinya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!