Pakar Malaysia saran vaksin campuran

Gambar kecil: Dr Yahya Mat Arip
Gambar kecil: Dr Yahya Mat Arip
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan kaedah heterologus atau campuran vaksin dijangka mampu mengawal penularan jangkitan Covid-19 varian Delta jika dilaksanakan di negara ini.

Pakar virologi daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, kaedah tersebut mampu memberikan lebih perlindungan kepada penerima vaksin Covid-19.

“Sebagai contoh, jika vaksin Covid-19 AstraZeneca digabungkan dengan vaksin Pfizer, ia akan memberi lebih perlindungan iaitu kekurangan AstraZeneca dapat ditampung oleh Pfizer,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, vaksin yang ada kini berdasarkan varian asal Wuhan dari China tetapi di Malaysia sekarang berhadapan dengan varian termutasi seperti Alpha, Beta dan Delta.

“Kadar kebolehjangkitan varian Delta mencecah 60 ke 70 peratus lebih tinggi berbanding varian lain.

“Jadi keberkesanan setiap vaksin sedia ada mungkin sedikit terjejas (bukan tidak berkesan) ke atas setiap varian baharu termutasi.

“Oleh itu, mana-mana vaksin yang terjejas sedikit keberkesanan akan dapat ditampung oleh vaksin lain dan sebaliknya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sinar Harian sebelum ini melaporkan varian Delta sedang menular hampir di 100 buah negara sejak empat bulan lalu sekali gus menjadi varian dominan Covid-19 baharu yang menjadi ancaman kepada negara besar seperti England, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

Tidak terkecuali Malaysia, varian yang berasal dari India itu dikesan dengan sebanyak 80 kes mengikut data pada 2 Julai lalu.

Dr Yahya berkata, Kementerian Kesihatan perlu meneliti terlebih dahulu data daripada negara yang sudah melaksanakan kaedah itu.

Katanya, terdapat beberapa negara yang sudah menggunakan kaedah heterologus dan mempunyai data sendiri.

“Boleh sahaja guna kajian data dari negara lain. Kemudian pakar akan menilai sama ada kaedah itu boleh diguna pakai di Malaysia atau sebaliknya.

"Jika dilihat, vaksin yang digunakan sekarang adalah berdasarkan data daripada luar kerana kita tidak uji vaksin AstraZeneca dan Pfizer di Malaysia,” katanya.

Beliau secara peribadi turut menyokong penggunaan campuran vaksin berikutan data sedia ada menunjukkan pertambahan keberkesanan dalam mengawal penularan beberapa varian baharu.

“Ia akan memberi satu kelebihan untuk menghadapi situasi pandemik semasa jika campuran vaksin dilaksanakan di Malaysia,” katanya.