Benarkan pelanggan yang lengkap divaksin makan di restoran

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LABUAN - Dewan perniagaan Labuan telah meminta kepada kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan kebenaran kepada pelanggan yang telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 untuk makan di premis makanan dan minuman (F&B) di pulau itu.

Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan India Labuan, Balvir Singh berkata, fleksibiliti itu akan membantu operator F&B untuk kekal bertahan ketika Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara susulan pandemik Covid-19.

“Berikutan kadar perlindungan yang tinggi daripada vaksin Pfizer-BioNTech, kami berpandangan bahawa kerajaan boleh membenarkan outlet F&B milik persendirian diberikan fleksibiliti untuk menempatkan lebih ramai pelanggan untuk makan di dalam premis, sekiranya pelanggan dan kakitangan premis F&B telah menerima vaksin penuh.

“Kami memohon kerajaan membenarkan outlet F&B satu alternatif kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa, agar mempunyai peluang lebih cerah untuk bertahan dalam pandemik yang berterusan ini. Jika tidak, banyak outlet perlu menutup sepenuhnya operasi mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Balvir berkata, inilah masanya untuk menilai semula SOP outlet F&B berikutan pemberian vaksin Covid-19 yang berjalan lancar di seluruh negara.

“Labuan menyaksikan trend penurunan jumlah individu positif Covid-19 daripada tiga angka kepada dua angka, dan kes jangkitan yang kedua terendah di negara ini.

“Mengikut laporan berita, Labuan telah memberikan vaksin kepada 85 peratus daripada penduduk dewasa ke arah mencapai imuniti kelompok menjelang akhir bulan ini.

“Oleh itu, operator outlet F&B perlu diberi peluang untuk menarik nafas lega dengan memberikan kebenaran makan di premis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Jawatankuasa Pendidikan Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC) Roger Foo berkata, SOP yang lebih ketat boleh dilaksanakan untuk pematuhan sepenuhnya, seperti memastikan jarak yang selamat antara meja.

“Kami berpendapat, peraturan yang sama tidak boleh lagi diguna pakai kerana mereka yang telah menerima vaksin penuh mempunyai risiko lebih rendah berbanding mereka yang tidak divaksin.

“Kita kini dalam satu perlawanan antara varian dan vaksin Covid-19. Membenarkan pelanggan yang telah melengkapkan dos vaksin akan membantu mengalakkan ‘pihak atas pagar’ untuk mendapatkan vaksin dan kami di dewan perniagaan mahu melaksanakan segala yang termampu untuk memastikan vaksin ‘menang,’” katanya.

Labuan mencatatkan 60 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 9,267 kes setakat ini.

Ini merupakan hari ke-10 berturut-turut Labuan mengekalkan jumlah kes baharu dua angka berbanding kes baharu harian tiga angka pada dua minggu lepas. - Bernama