KKM tambah kapasiti katil hospital di Lembah Klang

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambahkan bilangan katil di semua hospital di Lembah Klang sebagai langkah strategik menangani peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penambahan itu membabitkan kapasiti daripada 3,412 kepada 3,777 buah katil di Selangor, manakala daripada 795 kepada 1,129 buah katil di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kita juga bekerjasama dengan tiga buah hospital pengajar universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengoptimumkan penggunaan katil di hospital tersebut.

“Ini menjadikan keseluruhan katil bagi rawatan Covid-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 buah katil,” katanya dalam sidang akhbar khas secara maya pada Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Datuk Dr Chong Chee Keong.

Dr Adham berkata, KKM turut menambah dua buah hospital penuh Covid-19 membabitkan Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang bermula pada 23 Jun lalu.

Menurutnya, Hospital Ampang mempunyai kapasiti 577 buah katil, manakala hospital lain dijadikan sebagai hospital hibrid Covid-19.

“Kecuali Hospital Shah Alam yang dikekalkan sebagai hospital non-Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengarahkan pihaknya untuk menambahkan 151 katil di Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (Kriba) serta 15 ventilator bagi kegunaan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

“Ini bertujuan bagi memastikan aspek kesihatan mental dalam kalangan anggota dan rakyat sentiasa diberikan perhatian secara serius selain kebajikan dan moral kakitangan terus dijaga,” ujar beliau.