Trend hina Islam, Nabi perlu dihentikan

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengecam tindakan segelintir pihak yang menjadikan alasan kebebasan pendapat dan bersuara untuk menghina agama lain.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan mengikut trend menghina agama lain terutamanya agama Islam yang merupakan agama rasmi negara harus dihentikan.

"Sejak kebelakangan ini isu menghina Islam dan Nabi semakin menjadi-jadi dan mudah berleluasa khususnya menerusi media sosial.

"Isu ini tercetus kesan daripada agenda Barat dikuasai Zionis yang mana matlamat mereka ingin Islam dimusuhi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azmi, sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan segera bimbang ia membawa kesan buruk dan bahaya pada kemudian hari.

Jelasnya, selain peruntukan undang-undang oleh pihak berkuasa pihak MAPIM berpendapat pendekatan dakwah dan penerangan mengenai aspek yang sering disalah erti dalam kalangan orang bukan Islam perlu disebarkan.

"Bukan itu sahaja, pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik wajar juga bekerjasama menangani isu ini sebelum ia mencetuskan ketegangan dalam masyarakat dan mengancam keselamatan negara," tegasnya.

Terdahulu, tular tindakan seorang lelaki memuat naik gambar karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah dalam laman sosial Facebook.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, lelaki terbabit berjaya ditahan dan direman tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Dia disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.