'Tidak boleh guna, samakan kalimah ALLAH dengan agama lain'

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa lafaz ALLAH merupakan kalimah suci yang khusus dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.

Beliau berkata, ia selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 2018.

Menurutnya, rayuan kes penggunaan kalimah ALLAH dibuat atas dasar kesedaran bahawa ia kekal menjadi milik umat Islam di Malaysia.

Katanya, ia termasuk kalimah Baitullah, Kaabah dan solat terus menjadi milik umat Islam.

“Paling utama, hasil rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan Sultan Selangor yang menitahkan kerajaan Persekutuan pada ketika itu membuat permohonan kembali bagi keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

"Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para Ashabus Samahah Mufti serta Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik," katanya dalam hantaran di Facebook.

Tambah Zulkifli, rayuan tersebut diangkat sewaktu beliau menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Setelah segalanya lengkap, saya bentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh kerajaan Persekutuan terdahulu melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dimulakan," katanya.

Sehubungan itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berharap kerajaan dapat memberikan jawapan tuntas berhubung isu penarikan balik rayuan kes tersebut.

“Saya berharap kerajaan Madani melalui KDN ada jawapannya kerana Menteri Dalam Negeri memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung isu kepentingan umat Islam ini,” katanya.

Media hari ini melaporka kerajaan Malaysia dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.