X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Lihat dahulu undian sebelum lakukan persiapan

Zii Jia
A
A

KETUA kontinjen (CDM) negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei menegaskan dia mahu melihat dahulu undian acara perseorangan lelaki sebelum berbincang dengan jurulatih, Hendrawan mengenai persiapan yang perlu dilakukan jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia.

Menurut Chong Wei, dia mahu melihat dahulu undian berkenaan bagi memudahkannya berbincang dengan Hendrawan berhubung latihan yang perlu dilakukan Zii Jia sebagai persediaan untuk ke Tokyo kelak.

Bagaimanapun katanya, dia yakin dengan kemampuan Hendrawan berdasarkan kepada pengalaman jurulatih berkenaan ketika melatihnya pada Olimpik Rio 2016, sebelum ini.

“Kita perlu tunggu sehingga senarai undian rasmi bagi acara badminton dikeluarkan baru kita boleh adakan perbincangan, bagaimana Zii Jia perlu lakukan persiapan kelak.

“Bagaimanapun setakat ini difahamkan, persiapan skuad badminton negara berjalan lancar, namun dengan latihan yang baik kita tidak boleh menjangkakan keputusan yang baik juga kerana Olimpik kali ini jauh berbeza.

“Jika sebelum ini, Sukan Olimpik berlangsung empat tahun sekali, kali ini ia berlangsung setelah lima tahun; tiada penonton, tak boleh jerit; dulu tak rasa macam ni,” katanya pada sidang media atas talian pada Ahad.

Dalam pada itu, Chong Wei Jia tidak menolak kemungkinan Zii Jia bakal berdepan pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016, Chen Long pada pusingan 16, kelak.

Katanya, biarpun difahamkan prestasi Chen Long dikatakan tidak begitu baik pada saingan di peringkat domestik ketika ini, persiapan rapi tetap perlu dilakukan sebagai persediaan pemain.

“Dalam tempoh setahun, saya juga tidak melihat Chen Long beraksi dan lagi pun dia telah bertukar jurulatih, Li Mao, iaitu jurulatih saya satu ketika dahulu.

“Selain itu, saya juga tidak tahu mengenai perkembangan atlet-atlet dari Indonesia, Korea Selatan serta China kerana atlet kita (Lee Zii Jia) hanya menyertai satu kejohanan iaitu All England (Kejohanan Seluruh England), Mac lalu dan menyaksikan Zii Jia muncul juara.

“Apa pun saya yakin dengan pengalaman serta kepakaran dimiliki Hendrawan bagi membantu Zii Jia kali ini,” katanya pada sidang media atas talian pada Ahad.

Berdasarkan ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF), Chen Long kini berada pada kedudukan keenam dunia manakala Zii Jia berada pada kedudukan kelapan.

Sementara itu Chong Wei berkata, dia akan mengadakan pertemuan dengan atlet berbasikal, terjun dan juga skuad badminton negara sebelum mereka berlepas ke Tokyo.

Katanya, pertemuan berkenaan secara keseluruhannya bagi melihat sejauh mana persediaan yang dilakukan selain melihat sendiri kekuatan mental daripada kesemua atlet dalam ketiga-tiga acara berkenaan yang dilihat sebagai prospek utama untuk meraih pingat emas pada temasya Olimpik kali ini.

"Saya akan jumpa secara peribadi dengan atlet berbasikal, terjun dan badminton untuk lihat bagaimana persediaan mereka serta berkongsi pengalaman saya dengan mereka. Yang penting jangan selalu tengok (kekuatan) orang, kita kena tengok (kekuatan) diri sendiri yang terbaik pergi lawan dahulu.

"Saya juga telah mengadakan perjumpaan dengan kesemua 30 atlet hari ini (Ahad). Yang penting ketika ini semua atlet kena jaga dua perkara, pertama elakkan daripada cedera dan kedua elakkan daripada dijangkiti Covid-19. Dulu satu sahaja, elak kecederaan, kini perlu elak Covid-19 juga. Kalau kena Covid-19, langsung tak boleh ke Tokyo," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!