Sudah dapat bantuan, masih kibar bendera putih

Gambar hiasan (Gambar kecil: Nicole Tan)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Nicole Tan)
A
A
A

SEREMBAN - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan kempen mengibarkan bendera putih untuk kepentingan diri sendiri.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya kesal apabila terdapat keluarga yang berterusan mengibarkan bendera putih walaupun sudah menerima bantuan pelbagai pihak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata, terdapat rumah yang sebelum ini mengibarkan bendera putih sebelum pusat khidmatnya datang memberi bantuan.

Bagaimanapun, katanya, selepas menerima pelbagai bantuan, keluarga berkenaan masih terus menggantungkan bendera putih tersebut.

"Bukan sahaja di pusat khidmat, malah terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Magic dan Persatuan Muhibah, serta individu yang bermurah hati membantu keluarga tersebut.

"Nampaknya, ada pihak yang ingin mengambil kesempatan. Konsep bendera putih itu disalah guna dan tidak sepatutnya berlaku," ujarnya.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai yang menggantung bendera putih kerana terputus bekalan makanan supaya menurunkan bendera terbabit selepas bantuan diterima.

"Bagaimanapun mereka boleh menaikkan semula bendera putih itu sekiranya benar-benar kehabisan bekalan makanan," katanya.

Artikel Berkaitan: