Pelantikan Timbalan Exco: PKR Melaka mahu perincian perbelanjaan

MELAKA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka menggesa kerajaan negeri mendedahkan keseluruhan kos pelantikan Timbalan Exco bagi memastikan penggunaan wang rakyat dapat dinilai secara telus.
Ketua Penerangannya, Eddiarman Mohd Yunos berkata, kenyataan mengenai kos pelantikan jawatan itu yang disifatkan tidak besar perlu disokong dengan angka dan penjelasan terperinci.
Menurutnya, kewujudan jawatan Timbalan Exco sejak penggal terdahulu juga tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengekalkan struktur pentadbiran itu tanpa menilai semula keberkesanannya.
“Begitu juga dengan kenyataan mendakwa perbelanjaan (kerajaan negeri) tidak besar, (bagaimanapun ia) mestilah dijelaskan dengan angka.
“Berapa jumlah elaun, kemudahan dan kos sokongan yang diperuntukkan? Apakah pertambahan kos berbanding struktur sebelumnya dan apakah hasil tambahan yang dijangka diterima rakyat?," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Muhammad Hakimin Mokhtar berpandangan jumlah anggota Exco dan Timbalan Exco yang ramai tidak diperlukan bagi sebuah negeri kecil seperti Melaka.
Beliau turut mempersoalkan keperluan mewujudkan terlalu banyak jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri susulan pembentukan barisan kepimpinan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh menjelaskan pelantikan Timbalan Exco bukan perkara baharu, sebaliknya amalan sejak penggal terdahulu bagi memperkukuh keberkesanan pentadbiran negeri.
Ab Rauf turut meminta pihak yang mempertikaikan pelantikan berkenaan supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Mengulas lanjut, Eddiarman berkata, meskipun Ab Rauf menyifatkan perbelanjaan itu tidak besar, namun ia tetap melibatkan penggunaan wang rakyat.
Eddiarman berkata, pihaknya tidak membuat kesimpulan bahawa setiap pelantikan Timbalan Exco merupakan satu pembaziran, namun kerajaan negeri perlu membuktikan keperluan jawatan itu menerusi pembahagian tugas, sasaran prestasi dan hasil yang boleh diukur.
Katanya, kesibukan anggota Exco dalam melaksanakan pelbagai perancangan juga bukan alasan mencukupi untuk mewajarkan penambahan jawatan dalam pentadbiran negeri.
“Jika kerajaan yakin struktur ini meningkatkan kecekapan, cadangan serta perkiraan tersebut tentu boleh dibentangkan.
“Kerajaan tidak boleh sekadar yakin dengan susunannya sendiri, sebaliknya mesti meyakinkan rakyat yang membiayainya,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


