Anggota kerja TNB hulur sumbangan kepada masyarakat

Penduduk sekitar pejabat TNB Kluang, Johor yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sedang beratur bagi mendapatkan bantuan makanan disumbangkan warga kerja TNB Kluang menerusi projek Gerobok Rezeki.
Penduduk sekitar pejabat TNB Kluang, Johor yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sedang beratur bagi mendapatkan bantuan makanan disumbangkan warga kerja TNB Kluang menerusi projek Gerobok Rezeki.
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Warga TNB Prihatin (WTP) dengan inisiatif sendiri menghulurkan bantuan kepada orang ramai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berterusan.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sumbangan tersebut antaranya ialah bantuan barangan keperluan daripada anggota kerja TNB Kluang, Johor menerusi projek Gerobok Rezeki Staf TNB Kluang.

“Ia selepas melihat sendiri secara dekat keperitan penduduk sekitar yang terputus bekalan makanan. Sebanyak 376 bungkusan diagihkan sejak tiga minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, nilai keprihatinan itu turut diterjemahkan anggota kerja anak syarikatnya, Kapar Energy Ventures Sdn Bhd (KEV) yang bertugas di Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Kapar, Klang, Selangor.

Selain itu, kataya, ‘food bank ‘diwujudkan di beberapa kedai terpilih sekitar kawasan Kampung Tok Muda, Serdang dan Pekan Kapar, Klang bagi meringankan beban penduduk.

“Inisiatif 'food bank' turut dijalankan di TNB Kemaman, Terengganu menerusi kutipan ikhlas dalam kalangan anggota kerja dan sumbangan orang awam untuk agihan penduduk setempat.

“Usaha murni ini mencerminkan pengertian mendalam nilai keprihatinan syarikat dan menyokong program tanggungjawab syarikat TNB bagi membantu komuniti sekitar.

“Semangat berkongsi rezeki juga diperlukan daripada semua pihak kerana semakin ramai memerlukan bantuan akibat pandemik Covid-19 yang berterusan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mahdzir, inisiatif yang bermula atas dasar keprihatinan warga kerja TNB disambut baik pelbagai pihak termasuk orang awam dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang turut serta menghulurkan sumbangan.

Beliau berkata, sumbangan barangan keperluan makanan juga dilaksanakan menerusi pelbagai cawangan persatuan dan kelab dalam TNB; antaranya Persatuan Kebajikan Pekerja Islam TNB, Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis TNB) dan Kelab Kilat TNB dengan bungkusan makanan bernilai lebih RM320,000 yang sudah diserahkan sehingga kini.

“Di peringkat syarikat pula, TNB menerusi pengurusan tertinggi dan persatuan dalaman telah menubuhkan Tabung Warga TNB Prihatin bagi mengumpulkan sumbangan sukarela warga kerja melalui penolakan gaji bulanan pada bulan Jun dan Julai.

“Sejak dilancarkan pada 9 Jun lalu, lebih RM1.57 juta berjaya dikumpulkan. Daripada jumlah itu, lebih RM1.137 juta telah diagihkan kepada lebih 1,900 penerima di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk fakir miskin dan asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Pada awal tahun ini, TNB juga telah menghulurkan bantuan kepada lebih 10,000 penerima daripada golongan B40 menerusi peruntukan sejumlah hampir RM9.5 juta.

"Ia bagi membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, mengagih bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku,” ujar beliau.