873 PIK latih, bimbing usahawan beralih ke platform digital

Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
Saifuddin Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Semua 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara sedia melatih dan membimbing peniaga dan usahawan mikro, kecil dan sederhana yang berhasrat beralih ke platform digital bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, semua PIK mempunyai pengurus sepenuh masa yang boleh mengendalikan latihan berkaitan sama ada secara luar talian atau dalam talian bergantung kepada kesesuaian dan kemahiran usahawan terlibat.

"Kita mempunyai modul daripada pelbagai agensi berkaitan e-dagang yang boleh digunakan. Selain membantu usahawan membiasakan diri menggunakan platform digital, kita juga ingin melihat mereka berkembang sehingga menjadi ikutan dalam perniagaan secara dalam talian.

"Semakin ramai peniaga beralih ke platform digital, sama ada usahawan muda atau peniaga yang semakin sedar mengenai kepentingan perniagaan dalam talian. Mereka juga mula mengadaptasi kaedah ini disebabkan pandemik Covid-19 setelah perniagaan secara fizikal tidak dapat dijalankan," katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Bengkel Usahawan Pahang: Program Pengupayaan Digital anjuran MyNIC Berhad secara dalam talian di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Pengerusinya, Dr Mohamed Awang Lah dan Ketua Pegawai Eksektif, Datuk Hasnul Fadhly Hasan.

Sehubungan itu, Saifuddin berharap lebih ramai usahawan merebut peluang beralih ke perniagaan secara dalam talian termasuk Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, bagi merealisasikan sasaran 800,000 usahawan mikro menjelang 2025.

Beliau juga berpandangan program berbentuk outreach perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan usahawan atau peniaga yang berpotensi menggunakan platform digital, namun tidak berbuat demikian atas pelbagai alasan termasuk kurang percaya terhadap transaksi secara dalam talian.

“Soal keselamatan siber memang diberikan tumpuan dan secara umumkan ia (platform digital) adalah selamat. CyberSecurity Malaysia juga banyak mendidik tentang kepentingan dah hak daripada segi keselamatan siber termasuklah keselamatan urusan perniagaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hasnul Fadhly berharap lebih ramai usahawan dan peniaga terutamanya dari luar bandar mengikuti bengkel anjuran MyNIC bagi melebarkan perniagaan mereka, kerana dalam kalangan mereka tidak menyedari potensi pemasaran yang disediakan di platform digital.

Katanya, antara faktor yang mengekang usahawan daripada beralih ke platform digital ialah persepsi penggunaan platform digital memerlukan laman web canggih sedangkan ia bersifat lebih 'straightforward' untuk memasarkan produk kepada pelanggan berpotensi.

Hasnul Fadhly berkata, MyNIC sebagai pendaftaran domain.MY juga akan memberi domain tersebut kepada usahawan atau peniaga yang berjaya mengembangkan produk mereka ke peringkat antarabangsa. - Bernama