'Kami sudah tak larat hadapi masalah pencemaran'

Othman (depan) dan kakitangan JAS meninjau keadaan air kotor dan berbau akibat pencemaran di Sungai Kopok, Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang pada Khamis.
Othman (depan) dan kakitangan JAS meninjau keadaan air kotor dan berbau akibat pencemaran di Sungai Kopok, Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Lebih 500 penduduk merayu jabatan dan agensi berkaitan supaya segera mengatasi masalah pencemaran bahan kimia di Sungai Kopok, Kampung Perigi Acheh di sini yang didakwa sudah tujuh kali berlaku dalam tahun ini.

Ketua Kampung Perigi Acheh, Othman Adon berkata, dua pencemaran berlaku pada Mei, tiga kali pada Jun manakala dua lagi dalam bulan ini dengan yang terbaharu pada Khamis lalu berpunca daripada sisa buangan dari Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat.

"Kami sudah tidak larat. Setiap kali pencemaran air sungai akan hitam dan berbau, ratusan ikan, udang serta ketam mati, begitu juga ternakan kupang sehingga menyebabkan penduduk kerugian.

"Kejadian itu menyebabkan pendapatan 70 nelayan sungai dan laut di kampung ini terjejas. Begitu juga masalah kesihatan, ada yang gatal-gatal kulit, bengkak, kulit mengelupas selain loya dan pening kepala," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau keadaan Sungai Kopok dan Sungai Daeng pada Khamis yang terletak tidak sampai dua kilometer dari laut dan Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat.

Othman berkata, setiap kali berlaku pencemaran pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan turun ke lokasi mengambil contoh air dan mengesahkan berlaku pencemaran kimia.

"Apabila JAS datang ambil contoh air, dua atau tiga hari berlaku lagi pencemaran dan ikan-ikan mati. Kami pun tak tahu sampai bila begini. Bila tanya pihak JAS, mereka kata sudah pergi ke kilang yang dipercayai buang bahan kimia. Bila kami mahu ikut JAS ke kilang tak bagi.

"Apa yang peliknya selepas itu berlaku lagi pencemaran. Ada beberapa penduduk kampung beritahu saya, kilang tempatnya bekerja buang sisa kimia begitu sahaja tetapi mereka tidak berani dedahkan walaupun mempunyai bukti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa, pencemaran di kampung tersebut dan kawasan sekitarnya berlaku sejak 20 tahun lalu tetapi tidak terlalu ketara kerana ketika itu hanya terdapat beberapa kilang tetapi kini terdapat ratusan kilang di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat.

Pada Sabtu lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Facebook miliknya memberitahu, pihaknya mendapat aduan pencemaran di Sungai Kopok dan pihak JAS Cawangan Pasir Gudang sudah turun ke lokasi untuk menyiasat.