Hotel kebajikan beroperasi, bantu rakyat terkesan Covid-19

Annuar (tengah) ketika meninjau persiapan RumahPrihatin@GrandSeasons yang bakal beroperasi secara berperingkat mulai 15 Julai ini.
Annuar (tengah) ketika meninjau persiapan RumahPrihatin@GrandSeasons yang bakal beroperasi secara berperingkat mulai 15 Julai ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - RumahPrihatin@GrandSeasons iaitu pusat kediaman berkonsepkan hotel kebajikan merupakan inisiatif baharu diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), pada Khamis.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia dijangka mula beroperasi secara berperingkat mulai 15 Julai ini bagi membantu rakyat yang terkesan Covid-19 khususnya golongan miskin bandar di Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, inisiatif baharu itu berfungsi menghimpunkan, mengkordinasi dan merawat individu terkesan yang diuruskan bersama sukarelawan, persatuan, organisasi korporat serta badan bukan kerajaan (NGO).

Kata beliau, sebagai permulaan lima komponen perkhidmatan ditawarkan di bawah RumahPrihatin@GrandSeasons iaitu Dapur Prihatin (DP), Bilik Penginapan Prihatin (BPP), Khidmat Kesihatan Mental Prihatin (KKMP), Khidmat Vaksinasi Prihatin (KVP) dan Pusat Gerakan Jejak Prihatin (PGJP).

"Sebanyak 1,000 pek DP disediakan sehari kepada golongan gelandangan, fakir miskin, petugas barisan

hadapan, musafir dan golongan tidak berkemampuan.

"Selain itu, sebanyak 300 bilik penginapan hotel BPP disediakan untuk manfaat golongan musafir, pelajar serta individu yang memerlukan penginapan sementara. Bayaran berdasarkan konsep BSM (bayar minimum sekadar mampu)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, selain itu individu yang menerima khidmat kaunseling KKMP dijamin kerahsiaannya.

Artikel Berkaitan:

"Kaunseling disediakan adalah kaunselor berdaftar. Perkhidmatan kaunseling bagi menguruskan beban kewangan turut disediakan," kata beliau.

Tambahnya, bagi komponen KVP pula, ia dijalankan untuk peniaga, penjaja, golongan kurang upaya, gelandangan dan mereka yang memerlukan bantuan khas.

Sementara itu PGJP bersama Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo), Majlis Perwakilan Penduduk, AJK Surau Masjid, Persatuan Penduduk dan NGO akan dikoordinasikan untuk turun padang, menjejak serta menyantuni rakyat di seluruh Wilayah Persekutuan untuk mengumpul maklumat bantuan yang diperlukan.

RumahPrihatin@GrandSeasons beroperasi di Hotel Grand Seasons, Jalan Pahang berhadapan Hospital Besar Kuala Lumpur.

Info lanjut boleh didapatidi www.yayasanwp.org/rumahprihatin atau e-mel ke rumahprihatin@yayasanwp.org.my atau helpline 01171107898.