Kebun durian haram: MAFI serah kepada pihak berkuasa

Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi
A
A
A

TUMPAT - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan prosedur sepatutnya terhadap isu pekebun durian Musang King di Raub, Pahang.

Timbalan Menteri II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya tidak akan mengganggu tugas penguat kuasa dalam kes berkenaan.

"Pencerobohan hutan simpan kekal adalah isu yang sudah berlarutan dan ia tidak berkait dengan isu lain.

"Memang tidak dinafikan durian jenis ini (musang king) mendapat sambutan di luar negara dengan harga sangat baik tetapi bukan di situ (Raub) saja ladang yang ada. Usahawan lain juga eksport buah tersebut ke luar negara dan mereka mematuhi peraturan," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau ditemui selepas menyampaikan peruntukan RM544,000 untuk Bantuan Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bagi empat DUN dalam Parlimen Tumpat.

Che Abdullah (tengah) menyampaikan replika cek untuk Bantuan Bakul Makanan di bawah parlimennya.
Che Abdullah (tengah) menyampaikan replika cek untuk Bantuan Bakul Makanan di bawah parlimennya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tumpat berkenaan berkata, kes berlaku di Raub tidak menjejaskan penjualan musang king di tempat lain seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan 18 individu dipercayai pekebun haram durian musang king ditahan selepas melakukan provokasi ketika operasi penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Proses reman 18 pekebun durian musang king kecoh

Provokasi ketika operasi, 18 pekebun haram durian musang king ditahan

Dalam satu kenyataan dikeluarkan jabatan itu, penahanan dilakukan berikutan mereka memasuki kawasan hutan simpan kekal tanpa kebenaran dan membuat provokasi melampau kepada anggota jabatan terbabit.

Operasi memusnahkan kebun haram durian di Raub dengan agensi kerajaan negeri mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tertumpu di sekitar kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam berkeluasan kira-kira 101 hektar.