X

Kindly register in order to view this article
!

Polis siasat kes anak istimewa didakwa didera

Polis menyiasat kes seorang anak istimewa berusia 13 tahun yang didakwa didera di sebuah pusat jagaan milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menyiasat kes seorang anak istimewa berusia 13 tahun yang didakwa didera di sebuah pusat jagaan milik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berumur 13 tahun itu tinggal bersama lima lagi rakannya di rumah terbabit yang dijaga oleh seorang wanita berumur 30-an.

"Rumah tersebut merupakan pusat jagaan milik sebuah NGO, terdapat enam individu berusia tiga hingga 18 tahun yang mana kesemua mereka merupakan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU).

"Keadaan mangsa yang mengalami kesan melecur dan beberapa kesan lain itu disedari oleh seorang individu yang menghantar makanan di lokasi disebabkan penjaga rumah terbabit dikenakan kuarantin," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

"Kita masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar kecederaan dialami mangsa, dan masa sama polis akan menunggu sehingga tempoh kuarantin Covid-19 penjaga rumah terbabit selesai untuk dirakam keterangan.

"Mangsa telah pun diselamatkan dan ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, tular di media sosial Facebook mengenai seorang remaja perempuan sindrom down yang didakwa didera di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak milik sebuah NGO.

Laporan polis dibuat individu berkenaan menghantar makanan ke sebuah unit kondominium yang menjadi pusat jagaan NGO terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak istimewa disyaki didera di rumah kebajikan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!