[VIDEO] Anak istimewa disyaki didera di rumah kebajikan

Remaja berusia 13 tahun yang menghidap sindrom down itu juga disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Remaja berusia 13 tahun yang menghidap sindrom down itu juga disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Seorang anak istimewa yang menghidap sindrom down disyaki didera di sebuah rumah kebajikan didiaminya sejak setahun lalu.

Seorang pengguna Facebook yang mendedahkan perkara itu mendakwa, remaja perempuan berusia 13 tahun itu dijadikan sebagai anak angkat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

“Baru-baru ini, saya dimaklumkan pemilik, petugas dan beberapa penghuni rumah kebajikan tersebut telah dijangkiti wabak Covid-19.

“Senarai nama penghuni telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut, namun namanya tidak dimasukkan ke dalam senarai,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, perkara tersebut menimbulkan kebimbangan dan menyebabkan seorang individu yang tidak ingin dikenali mencari peluang untuk masuk ke dalam rumah dan melihat sendiri keadaan.

“Bila tengok namanya tiada dalam senarai, dia rasa pelik kerana mereka seperti ingin menyembunyikan sesuatu.

“Jadi sumber tersebut bawa makanan ke rumah kebajikan dan dapat jumpa kanak-kanak itu.

Dia terkam lalu menangis, seolah-olah dalam keadaan trauma,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu memaklumkan, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati remaja berusia 13 tahun tersebut tidak dimasukkan dalam senarai kerana dia telah didera dan mereka cuba untuk melindungi perbuatan keji itu.

“Dia didapati positif Covid-19 apabila dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menerima rawatan selama 10 hari sebelum dihantar pulang ke rumah kebajikan yang menjaganya sebelum ini.

“Kecederaan dia sangat serius.

Apabila pihak hospital tanya siapa yang buat, dia akan sebut ‘bonda’ dan ‘mama’ serta beritahu dia telah diikat serta disiram air panas.

“Saya mohon media, masyarakat dan pihak polis untuk siasat kes ini secara lebih terperinci dan bawa pelaku kejam ini ke muka pengadilan segera,” tegasnya.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di akaun media sosial itu, pemilik Facebook berkenaan turut memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan keadaan remaja tersebut.

Sementara itu, pemilik sebuah rumah kebajikan di ibu kota menafikan dakwaan penderaan yang dibuat ke atas seorang anak istimewa.

Menurut pemilik rumah kebajikan tersebut, dakwaan yang tular mengatakan pihaknya mendera kanak-kanak berusia 13 tahun itu adalah tidak benar sama sekali.

“Saya baru sahaja ambil kanak-kanak tersebut sebagai anak angkat lebih kurang setahun lalu.

“Saya hanya boleh menafikan saja sebab saya sendiri tahu macam mana saya jaga mereka dan kanak-kanak tersebut bukan satu-satunya anak saya yang sindrom down,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian dimaklumkan bahawa pemilik rumah kebajikan itu sudah pun membuat laporan polis bagi mengambil tindakan lanjut atas dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Dia yang dimaklumkan tentang dakwaan tersebut oleh kenalannya pada pagi tadi tidak mahu perkara itu menjadi tekanan buat dirinya.

“Saya memang tidak tengok telefon lepas solat Isyak semalam kerana hendak berehat dan tidak mahu sebarang tekanan.

“Saya jaga ramai orang lagi dan kalau nak kata dia didera, saya ada banyak mata dan penghuni yang tahu perangai saya.

“Saya pun tidak tahu macam mana nak klasifikasikan dera, marah dan tegur. Sampai tak boleh tegur ke?

“Buat masa ini saya memang tidak boleh beri sebarang komen kerana kes masih lagi dalam sisatan,” katanya setelah selesai membuat laporan polis.