'Kalau tak mampu tunai tanggungjawab, serah kepada yang mampu'

Abdullah Sani
Abdullah Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa ahli-ahli Parlimen supaya insaf dan menghentikan amalan 'makan sana dan sini' semata-mata untuk menjaga kuasa politik pada saat krisis Covid-19 semakin parah.

Tanpa menamakan parti diwakili ahli-ahli Parlimen berkenaan, Abdullah Sani menegaskan kumpulan pemimpin politik yang majoritinya terdiri menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu perlu meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi demi menyelamatkan negara.

Jelas beliau, ahli-ahli Parlimen berkenaan juga perlu berjiwa besar untuk menyerahkan tanggungjawab menyelamatkan negara daripada krisis Covid-19 kepada pihak yang 'mampu' sekiranya mereka terbukti tidak berupaya.

"Saya berpandangan ahli-ahli Parlimen kena insaf dan harus buat keputusan terbaik untuk kepentingan negara.

"Saya sedih bila rakyat menderita, ahli-ahli politik masih berpolitik untuk jaga kuasa, hendak makan sana dan sini. Kadang-kadang saya pening dengan sikap menteri-menteri PN.

"Kalau sudah nampak terang-terang tidak mampu tunai tanggungjawab, serahlah kepada orang yang mampu. Negara kita perlu melaksanakan proses bina semula...kalau mereka mahu berpolitik sampai liang lahad, terpulang kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ahli Parlimen Kapar itu berkata demikian bagi mengulas desas-desus UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bakal membentuk jajaran politik bagi menubuhkan kerajaan baharu sebelum 1 Ogos ini.

Kritikan Abdullah Sani itu dipercayai merujuk tindak-tanduk 35 ahli Parlimen UMNO yang difahamkan masih bertegas untuk terus menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen, selari dengan resolusi dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Artikel Berkaitan:

Keputusan dibuat ahli-ahli Parlimen UMNO itu difahamkan sebagai reaksi balas terhadap usaha Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan sokongan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi memuktamadkan usul menarik sokongan daripada kerajaan PN sebelum 1 Ogos.

Mengulas lanjut, Abdullah Sani mengakui sebarang keputusan untuk menukar kerajaan PN adalah terletak sepenuhnya di tangan ahli-ahli Parlimen sendiri dengan parti mereka bukan lagi menjadi penentu.

Ujar beliau, PKR akan memantau keadaan sehingga minggu ini dan sekiranya masih tiada apa berlaku, parti itu akan menyelesaikan isu legitimasi kerajaan PN melalui sidang Parlimen.

"Sekarang ini keputusan terletak pada tangan ahli-ahli Parlimen sendiri...parti bukan lagi penentu.

"Kalau satu parti buat keputusan diam diri, kita (PKR) buat keputusan bertindak pun tidak boleh.

"PKR sudah ada keputusan dan kita akan tengok apa berlaku minggu ini. Jika tiada apa, PKR tetap akan selesaikan isu legitimasi kerajaan PN melalui sidang Parlimen," katanya.