Tiada 'Abang Long' dalam rundingan politik PN, BN - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri ketika berucap sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kawasan Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di Arena Square, Dungun pada malam Khamis.
Ahmad Samsuri ketika berucap sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kawasan Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di Arena Square, Dungun pada malam Khamis.
A
A
A

​DUNGUN - Perikatan Nasional (PN) menegaskan sebarang rundingan kerjasama politik bersama Barisan Nasional (BN) mesti dilaksanakan atas prinsip kesetaraan tanpa ada mana-mana pihak bertindak sebagai 'Abang Long'.

​Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sikap saling menghormati dan mengambil kira kehendak semua pihak adalah asas utama sekiranya kedua-dua gabungan itu mahu membina muafakat politik yang kukuh.

​Menurutnya, PN tidak boleh menjadi satu-satunya pihak yang diminta mengalah, sebaliknya rakan rundingan juga perlu menunjukkan sikap terbuka demi kepentingan bersama.

​"Tidak ada 'Abang Long'. Awal-awal lagi saya pernah sebut kepada rakan-rakan yang kita runding, tidak ada istilah 'Abang Long' dalam perbincangan dan perundingan. Barulah kita duduk sebagai rakan yang setara untuk berbincang.

​"Jangan minta kita sahaja dalam PN untuk berjiwa besar. Pihak satu lagi pun perlulah berjiwa besar," katanya ketika berucap sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kawasan Dungun dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di sini pada malam Khamis.

Sebelum ini, kerjasama BN dan PN melengkapkan kejayaan 'hatrik' tiga kemenangan berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas memenangi PRN Melaka ke-16 pada 14 November 2026 selepas kejayaan di Johor pada Julai 2026 dan Negeri Sembilan pada Ogos 2026.

​Mengulas lanjut, Menteri Besar Terengganu itu memberi gambaran bahawa peraturan dan prinsip dalam kerjasama politik perlu konsisten dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya mengikut selera pihak tertentu.

​Beliau menyifatkan tindakan mengubah syarat pada saat akhir ibarat menukar undang-undang permainan bola sepak ketika perlawanan sedang berlangsung.

​"Kalau kita bermain bola, dah pakai jersi hendak main bola. Bila dia tengok pasukan kita itu main hebat, tiba-tiba ubah undang-undang pertandingan.

Artikel Berkaitan:

"Tak kena dan tak aci kita hendak main ubah-ubah pada saat akhir.

​"Undang-undang di negeri Melaka, kita gunakan undang-undang itulah juga, prinsip itulah juga di tempat-tempat yang lain. Itulah asas kebersamaan," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!