'Bersantai' di balkoni secara berbahaya, lima wanita ditahan

Aksi beberapa wanita duduk di luar balkoni Taman Sri Bayu Puteri, Masai, Johor Bahru pada Isnin. -Foto: Ihsan pembaca
Aksi beberapa wanita duduk di luar balkoni Taman Sri Bayu Puteri, Masai, Johor Bahru pada Isnin. -Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan 'bersantai' dalam keadaan yang boleh mendatangkan bahaya di luar balkoni tingkat enam di sebuah unit pangsapuri berhampiran Taman Sri Bayu Puteri di sini mengundang padah apabila lima wanita warga Indonesia ditahan polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kesemua wanita berusia lingkungan 20 hingga 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Pelangi pada 12.10 tengah hari.

"Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku semalam (Ahad) pada kira-kira 10 pagi dan kita telah membuat serbuan serta menahan wanita warga asing dipercayai suspek yang tular di dalam video berkenaan.

"Semakan mendapati kesemua mereka mempunyai dokumen diri dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tular di laman Facebook sebuah video berdurasi tujuh saat memaparkan sekumpulan wanita dipercayai warga asing sedang bersantai di luar balkoni kecil dalam keadaan yang membahayakan keselamatan diri, sekali gus mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Kesemua wanita dilihat duduk serta berdiri sambil bersembang sambil membawa minuman dan mereka dipercayai keluar untuk bersantai di balkoni tanpa sebarang pagar itu dengan melalui tingkap bilik di unit berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: