Guru lelaki direman 7 hari kes amang seksual fizikal pelajar

HULU TERENGGANU – Seorang guru lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah premis penginapan kursus di Kuala Telemong, di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut jam 11.30 pagi pada 19 November lalu.
Menurutnya, mangsa didakwa dicabul oleh suspek berusia 48 tahun yang merupakan guru kepada pelajar berkenaan ketika menghadiri program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di premis penginapan kursus tersebut.
"Pihak polis telah menahan guru lelaki tersebut jam 3 petang pada 21 November lalu bagi siasatan lanjut.
"Permohonan reman telah dibenarkan ke atas tangkapan selama tujuh hari sehingga 28 November 2026," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut Sharudin, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu kesalahan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat,"ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan serta melindungi hak mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

