Pengamal komunikasi perlu perkukuh tadbir urus AI

Perkembangan pesat teknologi AI menuntut pengamal komunikasi memastikan penggunaannya dilaksanakan secara beretika dan bertanggungjawab. (Gambar kecil: Syed Mohammed Idid) - Gambar Hiasan
Perkembangan pesat teknologi AI menuntut pengamal komunikasi memastikan penggunaannya dilaksanakan secara beretika dan bertanggungjawab. (Gambar kecil: Syed Mohammed Idid) - Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengamal perhubungan awam dan komunikasi strategik digesa memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh tadbir urus kecerdasan buatan (AI), memelihara integriti maklumat serta meningkatkan kepercayaan masyarakat.

Penerima Anugerah Komunikator Kanan Terbaik Asia Pasifik 2025 daripada International Association of Business Communicators (IABC), Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, perkembangan pesat teknologi AI menuntut pengamal komunikasi memastikan penggunaannya dilaksanakan secara beretika dan bertanggungjawab.

Menurutnya, tadbir urus AI tidak seharusnya dianggap sebagai tanggungjawab jabatan teknologi maklumat semata-mata, sebaliknya pengamal komunikasi perlu turut dilibatkan dalam penggubalan dasar dan garis panduan penggunaannya.

"Apabila AI menghasilkan maklumat palsu, menimbulkan persepsi berat sebelah atau menjejaskan keyakinan pihak berkepentingan, kesannya akan dirasai secara langsung oleh organisasi.

"Justeru, pengamal komunikasi perlu bekerjasama dengan pengurusan tertinggi, bahagian perundangan, pengurusan risiko, teknologi dan tadbir urus korporat bagi memastikan setiap penggunaan AI mempunyai mekanisme semakan, pengesahan dan akauntabiliti yang jelas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Syed Mohammed berkata, kajian 2026 'Biases in Generative AI Survey' oleh Better Together Agency dari Amerika Syarikat mendapati 90.1 peratus responden bimbang terhadap penyebaran kenyataan atau video palsu yang dijana AI, khususnya apabila dikaitkan dengan syarikat atau pemimpin organisasi.

Ujar beliau, kajian sama turut menunjukkan 89.6 peratus responden bimbang enjin carian berasaskan AI memaparkan maklumat tidak boleh dipercayai atau berat sebelah dari segi politik tanpa penjelasan sewajarnya.

"Kita sedang memasuki satu era apabila apa yang dilihat atau didengar tidak semestinya benar. Rakaman suara, gambar atau video yang kelihatan begitu meyakinkan sekalipun mungkin sebenarnya dihasilkan atau dimanipulasi menggunakan AI.

"Apabila kebenaran akhirnya diketahui, kerosakan terhadap reputasi dan kepercayaan masyarakat mungkin sudah pun berlaku," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pengamal komunikasi perlu mempunyai keberanian profesional untuk menegur, memberi nasihat serta mempersoalkan sebarang maklumat yang diragui ketepatan atau kesahihannya.

Beliau turut menyarankan persatuan profesional, institusi pengajian tinggi, agensi perhubungan awam, firma perunding dan jabatan komunikasi korporat memperkukuh latihan berkaitan literasi AI, etika, pengesahan maklumat serta tadbir urus teknologi.

Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan penggunaan AI tidak menjejaskan integriti maklumat, reputasi organisasi dan kepercayaan masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!