Tak sedar cukai jalan tamat tempoh, Bentley disita JPJ

SHAH ALAM – Seorang wanita yang memandu kereta mewah Bentley Continental GT mendakwa tidak menyedari cukai jalan kenderaan itu sudah tamat tempoh selepas ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini pada Isnin.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, kenderaan itu ditahan kira-kira jam 10.19 pagi.
"Pemandu merupakan wanita tempatan berusia lingkungan awal 50-an dan isteri kepada pemilik kenderaan tersebut.
"Kenderaan itu disita selepas pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh sejak Februari lalu, selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah sejak Ogos," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu, sebuah lagi kereta mewah jenis Porsche Taycan Turbo S-ZAA EV turut disita JPJ selepas ditahan di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) pada hari sama.
Ahmad Kamarunzaman berkata, pemeriksaan mendapati LKM kenderaan itu juga telah tamat tempoh.
"Semakan turut mendapati Porsche tersebut mempunyai dua notis di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan telah disenarai hitam.
"Kedua-dua kenderaan dibawa ke Pejabat JPJ Selangor untuk tindakan lanjut," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
