15 lelaki ditahan leka bermain judi ikan laga

Baharudin (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan dirampas dalam serbuan di sebuah pondok kayu di di Felda Kerteh 3, Kemaman pada Sabtu.
Baharudin (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan dirampas dalam serbuan di sebuah pondok kayu di di Felda Kerteh 3, Kemaman pada Sabtu.
A
A
A

DUNGUN - Sekumpulan lelaki yang leka bermain judi ikan laga di sebuah pondok kayu di Felda Kerteh 3 ditahan dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan kumpulan lelaki terbabit dalam kegiatan di belakang sebuah kediaman itu.

"Sebanyak 26 botol kecil dan lima balang besar yang mengandungi 31 ekor ikan laga, tiga buah serkap ayam, satu kotak gabus, satu bakul sulaman dan dua buah beg dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM950 yang dipercayai digunakan sebagai pertaruhan. Kita percaya kegiatan itu dilakukan sejak beberapa hari lalu," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di IPD Dungun pada Isnin.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, 15 suspek yang ditahan turut dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Kesemua suspek yang ditahan dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana telah melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati 11 daripada 15 suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

"Jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara lebih lima tahun atau didenda tidak lebih RM200,000 atau kedua-duanya.

"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dikenakan penjara tiga tahun atau denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.