Tembak: Tiga ditahan ketika mahu bermain judi, cuba samun

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes tembak seorang lelaki kira-kira jam 9.23 pagi di Bachok pada Khamis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa berusia 27 tahun yang mengalami luka di bahagian kaki sebelah kanan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok antara jam 1.20 pada hari sama di sekitar daerah itu.

"Siasatan awal mendapati dua tangkapan dibuat di kawasan tali air di kampung Tepus, Gunong Bachok ketika suspek datang ke situ untuk bermain judi.

"Seorang lagi suspek bersama tiga rakan sejenayah lain pula ditahan ketika cuba melakukan samun hasil perniagaan dan perjudian mangsa," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun Muhamad Zaki memberitahu, tiga rakan sejenayah itu masih bebas dan polis kini giat mencari suspek terbabit.

Jelasnya, semakan mendapati mangsa dan kesemua suspek yang berusia lingkungan 23 hingga 28 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik dan jenayah.

Tambah beliau, siasatan turut mendapati kesemua suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain.

"Tangkapan pertama juga cuba mengelirukan anggota polis dengan membuat laporan palsu namun disedari oleh polis terbabit.

"Ujian saringan urin mendapati salah seorang daripada suspek positif methaphetamine," katanya.

Muhammpad Zaki menjelaskan, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Tiga Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu menahan tiga lagi suspek bagi melengkapkan siasatan.