Isu gaji pekerja: Pengurusan syarikat diminta hadir ke pejabat JTK Sabah

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pihak pengurusan sebuah syarikat industri perkayuan di Sipitang diminta hadir ke Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah pada Khamis ini.

Tindakan itu bagi membantu siasatan dan memberi penjelasan susulan aduan yang dibuat pada 1 Julai lalu oleh wakil syarikat mengenai dakwaan pekerja tidak menerima gaji sejak tiga bulan lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inspektorat dan Perundangan JTK Sabah, Madzaral Sebalon berkata, pihak pengurusan syarikat itu sudah diminta untuk datang ke Ibu Pejabat JTK Sabah.

"Bahagian ini mengambil maklum berhubung isu itu dan telah menghubungi pihak syarikat untuk mendapatkan penjelasan sama ada perkara itu adalah benar sebagaimana dakwaan pihak pekerja.

"Majikan telah diarahkan hadir ke pejabat pada 8 Julai ini (Khamis) jam 10 pagi bagi tujuan siasatan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pekerja syarikat terbabit yang mengatakan tidak menerima gaji sejak April lalu sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih bagi menuntut gaji mereka.

Diminta mengulas berhubung sama ada syarikat perkayuan itu masih beroperasi atau sebaliknya, Madzaral berkata, perkara itu akan diketahui selepas JTK mendengar penjelasan daripada pihak pengurusan syarikat terbabit.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan seramai 1,182 pekerja kilang di syarikat itu merayu supaya majikan dan kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung status pembayaran gaji yang tidak diterima mereka.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan keadaan itu, pekerja syarikat terpaksa menaikkan bendera putih kerana bukan sahaja tiada pendapatan malah terputus bekalan makanan serta keperluan harian yang lain.

Situasi dihadapi mereka turut mendapat perhatian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang meminta agar kerajaan campur tangan dalam pengurusan syarikat demi kebajikan pekerja.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga menjelaskan masalah gaji dihadapi pekerja syarikat itu akan diselesaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kibar bendera putih, pekerja kilang tuntut penjelasan gaji tak dibayar

Kerajaan wajar campur tangan isu pembayaran gaji pekerja syarikat