X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan wajar campur tangan isu pembayaran gaji pekerja syarikat

Bendera putih dikibarkan bagi menuntut gaji yang tidak dibayar oleh sebuah syarikat industri perkayuan di Sipitang dan sebagai tanda pekerja tertekan tiada sumber kewangan.
A
A

KOTA KINABALU - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak supaya kerajaan membantu pekerja mengekalkan pekerjaan mereka.

Setiausaha Agung MUTC, Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan wajar masuk campur dalam keputusan pengurusan sesebuah syarikat berkaitan pembuangan pekerja dan faedah pekerjaan.

"Isu pekerjaan membabitkan sebuah syarikat di pedalaman Sipitang adalah contoh di mana kerajaan wajar campur tangan untuk kebaikan pekerja.

"Mereka tidak dibayar gaji selama tiga bulan sehingga kini tetapi terpaksa hadir bekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, syarikat itu merupakan sebahagian kisah pekerja luar bandar yang bekerja tetapi tidak dipedulikan oleh pihak yang berkuasa.

"Apakah kesudahan pekerja ini? Apakah undang-undang tidak terpakai kepada syarikat? Adakah wajar pekerja berkenaan mengambil tindakan berasaskan kepada kemahuan mereka.

"Pekerja-pekerja syarikat itu telah mengibarkan bendera putih hari ini untuk perhatian kerajaan. Tindakan pekerja adalah usaha yang perlu dilakukan bagi memastikan kelangsungan kehidupan keluarga," katanya.

Tambah Kamarul lagi, MTUC mengutuk langkah pengurusan membiarkan pekerja tanpa gaji selama tiga bulan dan tiada inisiatif untuk menyelesaikan perkara itu.

"Pekerja wajar berada di rumah sekiranya syarikat tidak boleh membayar gaji dan pekerja tidak akan dibebani dengan kos pengangkutan," katanya.

Sehubungan itu, MTUC menegaskan bahawa kerajaan mesti lebih peka dan sensitif terhadap sebarang perubahan dasar atau amalan yang dilaksanakan.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan seramai 1,182 pekerja kilang di sebuah syarikat industri perkayuan di Sipitang merayu supaya majikan dan kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung status pembayaran gaji mereka yang tidak diterima sejak tiga bulan lalu.

Disebabkan keadaan itu, pekerja syarikat terbabit terpaksa menaikkan bendera putih kerana bukan sahaja tiada pendapatan malah terputus bekalan makanan serta keperluan harian yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Kibar bendera putih, pekerja kilang tuntut penjelasan gaji tak dibayar


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!