Jeti konkrit ganti kayu

Laluan jeti yang dibaikpulih selepas kayu reput ditukar kepada konkrit
Laluan jeti yang dibaikpulih selepas kayu reput ditukar kepada konkrit
A
A
A

PONTIAN - Penduduk di sekitar Sungai Peradin dekat sini bersyukur apabila laluan jeti kayu di kawasan hutan paya bakau yang pernah menjadi kawasan tumpuan pelancongan suatu masa dahulu kini sudah dinaiktaraf kepada binaan konkrit.

Penduduk, Ahmad Daud Mohd Saing, 51, berkata, Sungai Peradin merupakan lokasi penting sejarah kehadiran tentera Jerman yang dipercayai pernah datang berdasarkan kepada binaan tangga batu di kawasan sungai yang masih utuh pada masa kini.

Menurutnya, tangga batu sering menjadi cerita penduduk kepada masyarakat luar yang bertanya tentang asal-usul Kampung Parit Jerman tidak jauh dari Sungai Peradin.

“Ramai yang tertarik hendak tengok binaan tangga batu di Sungai Peradin, tetapi susah hendak ke sana sebab perlu naik bot.

“Laluan jeti di kawasan paya bakau menuju ke tangga batu sudah reput dan banyak yang rosak, tidak selamat untuk digunakan lagi,” katanya.

Ahmad Daud berkata, laluan jeti konkrit yang siap dibina pada awal bulan lepas itu memberi nafas baharu kepada usaha menarik pelancong melihat keindahan hutan paya bakau.

“Daerah Pontian sememangnya terkenal dengan hutan paya bakau. Laluan pejalan kaki di hutan paya bakau sememangnya unik dan menjadi tumpuan pelancong di Taman Negara Johor Tanjung Piai dan Pulau Kukup.

“Kini, Sungai Peradin sudah mempunyai laluan pejalan kaki di kawasan hutan paya bakau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, persekitaran Sungai Peradin mempunyai keindahan semula jadi yang cukup menarik dengan hutan paya bakau.

"Pokok-pokok bakau masih banyak terdapat di situ selain kedudukan jeti yang terletak berhampiran dengan kampung memudahkan pergerakan nelayan dan pemancing," katanya.