Rakyat, pelajar di Kelantan terjebak ceti haram

Mohd Fareh menyumbangkan tiga tan air mineral kepada petugas barisan hadapan di sini.
Mohd Fareh menyumbangkan tiga tan air mineral kepada petugas barisan hadapan di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 280 aduan diterima Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) sebulan melibatkan masalah rakyat Kelantan yang berkait dengan ceti haram, sejak sebulan lalu.

Yang Dipertua PPIK, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya, keterlibatan masyarakat dengan ceti berkenaan dipercayai berpunca daripada tekanan dan kesempitan hidup.

"Kita sendiri dapat lihat nombor-nombor ceti haram ini banyak dan mudah diperoleh. Bila masyarakat tengok, mereka sedikit sebanyak akan terpengaruh untuk mencuba," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Terdahulu beliau hadir menyampaikan tiga tan air mineral kepada Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) Datuk Dr Selasawati Ghazali untuk kegunaan petugas barisan hadapan di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, secara purata, pihaknya menerima 10 aduan setiap hari dan 70 aduan seminggu melibatkan masalah berkenaan.

Malah katanya, lebih menyedihkan lagi, bukan sahaja golongan dewasa, malah peminjam juga ada yang masih lagi menuntut di sekolah menengah.

"Ini antara aduan terbaharu yang kita terima pada dua minggu lalu, pelajar berkenaan telah melakukan pinjaman dengan beberapa ah long sebanyak sebanyak RM1,000 yang akhirnya mencecah sehingga RM5,000 termasuk faedah pinjaman.

"Kita tidak menolak kemungkinan aktiviti perjudian secara online yang semakin mudah dan bebas juga antara penyebab golongan muda ini berhutang.

Artikel Berkaitan:

“Pihak persatuan hanya boleh menasihatkan masyarakat selain memberi kesedaran agar tidak melakukan pinjaman dengan pihak berkenaan.

"Semasa meminjam, mereka tidak ambil kisah dengan kadar faedah yang ditetapkan, sedar-sedar ia telah membabitkan interest yang tinggi,"katanya.

Katanya, selain itu PPIK juga turut melakukan inisiatif rundingan dengan ceti berkenaan untuk pengurangan kadar faedah, sekurang-kurangnya sehingga 10 peratus.