Polis siasat pelaku conteng papan tanda

Gambar vandalisme di sebuah papan tanda tular di media sosial.
Gambar vandalisme di sebuah papan tanda tular di media sosial.
A
A
A

GOMBAK - Polis menyiasat kes conteng papan tanda dengan perkataan jelik terhadap kerajaan di Jalan Bandar Tasik Puteri Batu Arang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian itu disedari seorang pegawai keselamatan trafik di sebuah syarikat lebuhraya pada jam 4 petang.

"Ketika berada di rumahnya di Kota Puteri, Batu Arang Selangor, lelaki berusia 52 tahun itu telah menerima pesanan WhatsApp dari rakan setugasnya memaklumkan berlaku vandalisme di papan tanda milik syarikat mereka," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Zainal Mohamed berkata, lelaki itu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati papan tanda itu telah diconteng (vandalisme) dengan perkataan jelik terhadap kerajaan dan sedang ditularkan.

"Siasatan awal mendapati papan tanda berkenaan dipasang bagi tujuan memberi kemudahan kepada pengguna," katanya.

Menurutnya, bagaimanpun papan tanda yang terletak kira-kira satu kilometer dari Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) telah dibersihkan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap harta dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam," katanya.

Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Amirul Ashyraf Abu Hassan di talian 019-3491233 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Artikel Berkaitan: