Pelajar bawah 17 tahun ditahan atas kesalahan trafik meningkat - Polis

KUALA LUMPUR - Jumlah pelajar sekolah bawah 17 tahun yang ditahan atas kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya di Kuala Lumpur meningkat kepada 114 orang bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 69 orang sepanjang 2025.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, peningkatan itu ketara berbanding 52 orang yang ditahan pada 2024, sekali gus memerlukan perhatian khusus terhadap penglibatan golongan remaja dalam kesalahan jalan raya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur merekodkan 563,953 tindakan penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat berbanding 444,594 dalam tempoh sama tahun lepas.
Fadil berkata, tindakan itu merangkumi notis, saman, sitaan dan tangkapan menerusi lima operasi utama, iaitu Ops Pematuhan, Ops Perdagangan, Ops Khas Bersepadu, Ops Motosikal dan Ops Mabuk.
"Peningkatan ini menggambarkan kesungguhan dan komitmen berterusan warga JSPT dalam mempergiat aktiviti penguatkuasaan serta memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua JSPT Kuala Lumpur di sini pada Selasa.
Beliau berkata, sebanyak 3,702 operasi turut dilaksanakan dalam tempoh berkenaan dengan Ops Pematuhan mencatat jumlah pelaksanaan tertinggi, diikuti Ops Khas Bersepadu dan Ops Motosikal.
Sebanyak 990 tangkapan turut direkodkan setakat Oktober tahun ini membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 45A, Seksyen 42 dan Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagaimanapun, Fadil berkata, sebanyak 67,262 kemalangan jalan raya direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, melibatkan 197 kematian, 63 kes kecederaan parah dan 1,842 kecederaan ringan, manakala 65,160 kes lagi melibatkan kerosakan kenderaan.
Beliau berkata, jumlah kemalangan bagi tempoh berkenaan masih belum boleh dianggap sebagai satu kejayaan meskipun lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan sepanjang 2025 kerana statistik tahun ini belum meliputi keseluruhan tahun.
Dalam pada itu, kemalangan maut melibatkan kesalahan berkaitan mabuk meningkat kepada empat kes bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tiga kes sepanjang tahun lepas.
Sehubungan itu, beliau mahu JSPT Kuala Lumpur terus mempergiat advokasi keselamatan jalan raya, meningkatkan pemantauan di lokasi berisiko tinggi serta memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang boleh mengakibatkan kemalangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

