Kanak-kanak maut, ibu parah nahas empat kenderaan

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala ibunya cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 6.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berhampiran Kempas, pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan III Mohamad Zakirman Mohd Hasri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.50 pagi sebelum enam anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis UD serta tiga kereta masing-masing jenis Chery, Perodua Myvi dan Mercedes.
Mohamad Zakirman berkata, kanak-kanak perempuan yang dianggarkan berusia 12 tahun itu merupakan penumpang Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ibu mangsa yang berusia 34 tahun dan merupakan pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta diberi rawatan awal bagi menghentikan pendarahan sebelum dihantar ke hospital.
Mohamad Zakirman berkata, tiga lagi mangsa yang merupakan pemandu kenderaan lain, kesemuanya lelaki berusia antara 50 hingga 72 tahun, tidak mengalami kecederaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
