Ibu tunggal habis ikhtiar, tak sanggup lihat anak berlapar

Mas Imran (kanan) menyerahkan bantuan berupa makanan asas kepada Ruzaitunsansuria di kediamannya di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Jumaat.
Mas Imran (kanan) menyerahkan bantuan berupa makanan asas kepada Ruzaitunsansuria di kediamannya di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Meskipun malu, namun usaha mengibarkan bendera putih di hadapan rumah menjadi jalan terakhir buat seorang ibu tunggal di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram bagi memastikan dapurnya berasap setelah keputusan bekalan makanan.

Ruzaitunsansuria Ab Kadir, 43, berkata, dia yang kehabisan wang untuk membeli lauk sebelum itu meminta bantuan daripada rakan, sebelum rakannya mengesyorkan memasang bendera putih sebagai ikhtiar.

“Saya malu nak berhutang lagi sebab hutang sebelum ini baharu sahaja saya langsaikan dengan duit bantuan BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) baru-baru ini. Tapi, memikirkan tiada lauk untuk makan, saya berasa tertekan.

“Apatah lagi saya mempunyai dua anak (umur 12 dan 14 tahun) yang menjadi tanggungan. Setiap hari saya terpaksa berjimat, biasanya goreng nasi kosong bersama bawang atau makan nasi berlaukkan telur atau ikan sardin untuk mengisi perut kami tiga beranak,” katanya ketika ditemui di kediamannya pada Jumaat.

Ruzaitunsansuria berkata, dia bergantung harap dengan bantuan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat masing-masing berjumlah RM300 namun ia tidak mencukupi memandangkan terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM350 selain bil utiliti dan keperluan harian.

Lebih menyedihkan, dia yang berstatus orang kurang upaya (OKU) kategori mental tidak mampu untuk bekerja dengan baik dan bergantung pada ubat serta rawatan susulan di hospital.

Ruzaitunsansuria bersyukur kerana mendapat bantuan makanan selepas mengibarkan bendera putih di hadapan kediamannya di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.
Ruzaitunsansuria bersyukur kerana mendapat bantuan makanan selepas mengibarkan bendera putih di hadapan kediamannya di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.

“Pernah saya terfikir untuk memotong lengan kerana tidak tahan dengan tekanan hidup tapi saya masih ada anak-anak. Saya bersyukur kerana ada jiran-jiran yang sudi membantu jika saya perlukan pertolongan.

Artikel Berkaitan:

“Saya memang tiada sumber lain. Baki duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) berjumlah RM2,000 saya gunakan untuk beli telefon dan keperluan sekolah anak-anak. Apa lagi yang saya ada, hanyalah simpati daripada orang lain,” ujarnya.

Sementara itu, nasib yang menimpa keluarga berkenaan mendapat perhatian daripada pasar raya Econsave yang turut sama melancarkan ‘Kibarkan Bendera Putih’ bagi membantu mereka yang terjejas dan memerlukan pada waktu sukar ini.

Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata, keluarga itu mendapat bantuan berupa makanan asas.

“Sebenarnya, kita mula menggerakkan kempen ini bermula semalam (Khamis) dan tidak sampai 48 jam, kita mendapat 300 permohonan daripada rakyat yang terjejas di seluruh negara. Di Johor sahaja, hampir 100 permohonan yang kita terima.

“Kita berasa terpanggil untuk membantu rakyat pada waktu yang sukar ini dan ia sebahagian daripada khidmat sosial kepada rakyat. Bantuan-bantuan ini kita akan gerakkan dan beri mengikut cawangan Econsave di seluruh negara dan diharapkan dengan bantuan ini, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mereka,” ujarnya.