Universiti digesa tegas kuat kuasa larangan merokok

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua universiti awam dan swasta digesa melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di kawasan universiti secara lebih tegas tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata walaupun peraturan larangan merokok dalam kawasan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta telah berkuat kuasa sejak beberapa tahun lepas, penguatkuasaannya masih longgar.

"Kita akan beritahu dan berhubung dengan pihak universiti supaya mereka melaksanakan dan kuat kuasa larangan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia, di sini hari ini.

Dr Boon Chye hadir bagi merasmikan majlis penutupan Tzu Chi International Medical Association (TIMA) Healthy Living Symposium' anjuran TIMA.

Pada 8 Januari lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang memperketat perintah larangan merokok dalam kawasan institusi pengajian tinggi tahun ini untuk melindungi hak kalangan mereka yang tidak merokok.

Pada 15 Oktober tahun lepas, KKM telah menguatkuasakan larangan merokok di dalam bangunan di kawasan Parlimen manakala pada 1 Januari lalu larangan merokok di tempat makan dikuatkuasakan.

Simposium Kehidupan Sihat TIMA diadakan bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat selain menimbulkan kesedaran tentang penyakit kronik serta strategi untuk mencegah dan mengurus penyakit.

Simposium dihadiri 252 peserta merangkumi profesional penjagaan kesihatan seperti doktor, jururawat, ahli farmasi, pakar pemakanan, ahli fisioterapi dan pengamal perubatan tradisional Cina. - Bernama

Artikel Berkaitan: