Budaya ‘kaki kipas’ rosakkan sistem pentadbiran

Ahmad Samsuri (kiri) menyerahkan dokumen ikrar bebas rasuah kepada Mohd Shukri pada majlis berkenaan.
Ahmad Samsuri (kiri) menyerahkan dokumen ikrar bebas rasuah kepada Mohd Shukri pada majlis berkenaan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemimpin digesa untuk membanteras 'kaki kipas' dan 'kaki ampu' yang boleh merosakkan sistem pentadbiran sesebuah jabatan dan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, budaya itu jika tidak dikekang, akan membarah dan menyebabkan ketidakadilan dalam pentadbiran.

Menurutnya, golongan itu bukan sahaja tiada keyakinan diri, tetapi mereka merupakan golongan yang bercita-cita tinggi ibarat parasit, yang hidup gembira atas air mata orang lain.

"Kaki kipas dan kaki ampu ini ada di mana-mana sahaja, malah ada yang patut dinaikkan pangkat tapi disisihkan kerana golongan sebegini. Watak bodek inilah yang menjadi satu ujian kepada orang lain.

"Sebab itu apabila kita ada kuasa, lakukanlah yang terbaik. Saya percaya Kerajaan Terengganu telah adakan kempen-kempen dan inisiatif untuk lahirkan kakitangan yang hebat dan integriti akan menjadi prioriti di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ADUN Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Seramai 24 ADUN Terengganu termasuk Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menandatangani IBR dan membaca ikrar pada majlis berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shukri berkata, Terengganu adalah negeri kedua yang melaksanakan IBR selepas Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya tiada tempoh masa untuk semua ahli politik menandatangani IBR dan tiada paksaan.

"Ia adalah perjuangan ikhlas dan siapa sahaja boleh lakukannya dalam menjadikan anti-rasuah dan integriti sebagai perjuangan setiap daripada kita," katanya.