Cuaca panas: Tak menang tangan baiki kipas rosak

Hamid melayani seorang pelanggan yang menghantar kipas untuk dibaiki di kediamannya di Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai di Kuala Terengganu.
Hamid melayani seorang pelanggan yang menghantar kipas untuk dibaiki di kediamannya di Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Musim kemarau yang melanda memberi limpahan rezeki buat seorang pesara apabila dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan untuk membaiki kipas yang rosak di kediamannya di Kuala Ibai, di sini.

Hamid Bakar, 60, berkata, peningkatan tempahan untuk membaiki kipas yang diterima setakat ini hampir 100 peratus berbanding sebelum musim kemarau.

"Sebelum ini dalam sehari saya biasa terima setakat lima, enam kipas yang rosak. Musim ni tempahan meningkat mencecah sehingga 15 hingga 16 unit kipas yang dihantar ke rumah ini untuk saya baiki.

"Selepas pelanggan hantar kipas saya tak janji bila boleh siap sebab ada banyak kipas yang perlu dibaiki dan saya pula baiki kipas ni berseorangan.

"Jadi, saya akan minta mereka tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi. Biasanya paling lama pun dalam dua hari boleh siap baiki," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Menurut Hamid, peningkatan mendadak pelanggan diterima selepas perkhidmatannya itu ditularkan di laman sosial Facebook.

Ujarnya, setakat ini pelanggan yang jauh datang antaranya dari Kuantan, Pahang; Kota Bharu, Kelantan; serta dari daerah lain di Terengganu seperti Jerangau Barat di Ajil, Hulu Terengganu; serta dari Setiu dan Marang.

Hamid sedang membaiki kipas pelanggan ketika ditemui di Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai, di Kuala Terengganu.
Hamid sedang membaiki kipas pelanggan ketika ditemui di Kampung Gong Kemunting, Kuala Ibai, di Kuala Terengganu.

"Mulanya saya hanya baiki kipas untuk rumah saya sahaja lepas tu jiran-jiran tahu saya baiki kipas mereka tertarik untuk minta baiki. Ikut pada kebiasaan orang, kalau kipas rosak mereka akan buang sahaja dan beli baru (baharu). Tapi nak beli baru (baharu) pun mahal sekarang kalau tak ada ratus ringgit tak boleh beli.

"Bermula dari ambil tempahan dari jiran, mereka sering hantar kipas untuk dibaiki sehingga ke hari ni. Baru-baru ni pula ada orang viralkan (tularkan) perkhidmatan baiki kipas ini dan dari situlah peningkatan pelanggan begitu mendadak," ujarnya.

Hamid berkata, kos dikenakan untuk membaiki kipas antara RM20 hingga RM40 bergantung kepada jenis kerosakan yang dialami sementara kos bagi servis kipas pula hanya RM15.

"Kipas ni dalam tiga hingga empat bulan kita perlu servis sekali. Biasanya, terdapat dua bahagian kipas yang sering rosak dan perlu ditukar iaitu kapasitor dan 'fuse coil', " katanya yang merupakan bekas kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Hamid yang bersara sejak 18 Mac lalu berkata, dia kini menumpukan perhatian untuk membaiki barangan elektronik yang rosak seperti kipas, blender dan periuk elektrik.

"Saya mula baiki kipas rosak sejak lima tahun lalu. Sebelum bersara saya hanya baiki barangan ini ketika ada masa terluang. Kini saya beri tumpuan sepenuhnya untuk kerja-kerja membaiki barangan elektrik ini dan saya berpuas hati kerana sambutan diterima amat menggalakkan.

"Buat masa ini saya hanya baiki kipas selain kipas siling iaitu kipas dinding dan kipas meja. Saya juga ada jual kipas terpakai pada Jumaat dan Sabtu di Taman Awam Lagun, Kuala Ibai," katanya.

Kata Hamid, kipas terpakai yang dijualnya mempunyai waranti atau jaminan selama dua bulan dan harga bagi kipas yang sudah siap dibaiki dan dijual antara RM30 hingga RM60 bergantung pada jenis, jenama dan saiz kipas.

Sementara itu, seorang pelanggan dari Felda Kampung Jerangau Barat, Che Rosmadi Che Ismail, 45 berkata, dia dia sanggup datang ke Kuala Terengganu kerana amat berpuas hati terhadap kualiti perkhidmatan yang diberikan Hamid.

"Kali ini sudah masuk kipas ketiga saya minta dia baiki. Mujurlah saya ada terjumpa tukang baiki kipas yang serasi dengan saya.

"Musim panas sekarang memang sentiasa pasang kipas. Mungkin peningkatan penggunaan menyebabkan ia lebih kerap rosak," katanya.