Terengganu benarkan 10 petugas ibadah korban, akikah

MAIDAM hanya membenarkan tidak melebihi 10 petugas bagi setiap sesi pelaksanaan ibadah korban dan akikah 1442H/2021M di negeri ini sepanjang tempoh Fasa 1 PPN. - Gambar hiasan
Gambar kecil: Osman
MAIDAM hanya membenarkan tidak melebihi 10 petugas bagi setiap sesi pelaksanaan ibadah korban dan akikah 1442H/2021M di negeri ini sepanjang tempoh Fasa 1 PPN. - Gambar hiasan Gambar kecil: Osman
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) hanya membenarkan tidak melebihi 10 petugas bagi setiap sesi pelaksanaan ibadah korban dan akikah 1442H/2021M di negeri ini sepanjang tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Yang Dipertuanya, Datuk Osman Muda berkata, kesemua petugas yang terlibat hendaklah dipastikan berada dalam keadaan sihat.

Menurutnya, bagi jumlah korban pula dihadkan kepada lima ekor haiwan sehari di sesuatu kawasan kecuali di rumah penyembelihan yang dibenarkan.

"Pelaksanaan ibadah korban dan akikah dibenarkan dan boleh dilakukan sama ada di Rumah Penyembelihan (Abbattair) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Terengganu dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh DVS, pekarangan masjid atau surau dan di kawasan lapang seperti padang tetapi perlu mendapat kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"JHEAT akan mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban yang lengkap untuk dijadikan rujukan semua pihak yang akan melaksanakan ibadah ini selain memastikan sebarang perubahan akan dimaklumkan daripada masa ke semasa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan pada Khamis.

Selain itu, Osman berkata, solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau dibenarkan dengan bilangan jemaah 40 orang tidak termasuk pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid atau surau.

"Bagaimanapun kehadiran jemaah hanya dibenarkan kepada lelaki sahaja. Bagi solat fardu berjemaah di masjid dan surau, hanya dibenarkan kepada ahli qariah yang bermastautin dan warganegara sahaja kecuali mana-mana individu yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya JHEAT," katanya.

Osman turut menegaskan ibadah korban, solat Jumaat, solat sunat Aidiladha tidak dibenar diadakan di kawasan yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, mana-mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) juga tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan itu," katanya.